Kapal Sumud Nusantara diserang dron, apa khabar 15 rakyat Malaysia?

Sebuah kapal yang membawa peserta misi Sumud Nusantara terbakar selepas diserang dron ketika berada di perairan Tunisia, dalam pelayaran menuju Gaza.

Salah seorang peserta misi kemanusiaan ke wilayah yang dizalimi rejim Zionis itu, Rahmat Ikhsan memberitahu insiden tersebut bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Salah satu kapal laut kami diserang dron dan terbakar.

“Semua bertenang kerana tiada kemalangan jiwa,” tulisnya di Facebook.

Dalam kemas kini berikutnya yang turut berkongsi video kebakaran kapal, beliau yang lebih dikenali sebagai PU Rahmat memaklumkan semua rakyat Malaysia selamat.

Beliau antara 15 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran itu sejak 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Kumpulan itu bersama lebih 50 bot dari 44 negara menggerakkan Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Misi tersebut membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang menderita kelaparan akibat kepungan Israel.

BACA JUGA PMX adalah penaung Sumud Nusantara, umum Nadir AL Nuri kepada peserta