Siasatan selesai, SPRM sahkan tiada isu salah guna kuasa babit Farhash

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador mendapati tiada lesen penerokaan mineral di Sabah pernah dikeluarkan kepada syarikat Farhash.

Susulan itu SPRM mengumumkan kes itu sebagai selesai dan ditutup selepas tiada kes jenayah, rasuah atau salah guna kuasa dikesan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata, timbalan pendakwa raya membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu tadbir urus.

“Siasatan kita jalankan dengan memanggil semua yang terbabit dan kita juga merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri, siapa-siapa yang dikatakan terbabit.

“Akhirnya, Timbalan Pendakwa Raya sudah membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan.

“Tiada isu tadbir urus, maka kes ini ditutup,” katanya pada sidang media hari ini

Menurut Azam, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash pernah mengemukakan permohonan penerokaan mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Mac 2023.

“Pada mulanya SMM telah membenarkan eksplorasi ini secara bersyarat pada Mac 2023 dan syarikat itu perlu mengemukakan dokumen tertentu bagi sebarang kebenaran (sebelum) eksplorasi berkenaan,” katanya.

Namun, jelas Azam lagi syarikat berkenaan gagal menyerahkan dokumen yang diminta, menyebabkan permohonan itu ditamatkan pada Mac tahun ini.

“Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa eksplorasi yang telah dijalankan kerana (syarikat) tidak membekalkan dokumen berkenaan,” kata Azam.

BACA JUGA Karma untuk Mahiaddin…dulu punca Langkah Sheraton kini ditikam dari belakang