Salah guna kuasa, rasuah nak dapatkan tender punca negara rugi RM227 bilion
Amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam urusan kewangan negara telah menyebabkan Malaysia menanggung kerugian kira-kira RM227 bilion dalam tempoh lima tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata jenayah itu berlaku apabila wujud kerjasama antara pihak berkuasa dengan mereka yang mahu mendapatkan projek kerajaan, sekali gus membuka ruang berlakunya ketirisan.
Memetik wawancara dengan Harian Metro, beliau menegaskan, antara punca utama yang dikenal pasti ialah berkaitan perolehan dana kerajaan serta proses tender projek.
“Mereka berebut-rebutlah untuk mendapatkan tender masing-masing bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi di sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau government link company,” katanya dalam wawancara khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Beliau berkata, isu ketelusan perlu diberi perhatian serius kerana rasuah turut menyebabkan kerajaan kehilangan hasil dalam bentuk cukai, lesen serta kutipan lain.
Katanya, sehingga kini sudah banyak siasatan dan tangkapan dilaksanakan bagi membendung ketirisan hasil negara akibat rasuah di mana sebanyak 728 kertas siasatan dibuka dalam tempoh Januari 2025 hingga 31 Julai lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 109 kertas siasatan kategori berprofil tinggi, tumpuan umum dan sensitif dibuka manakala 619 adalah kategori biasa.
“Sebanyak 280 kertas siasatan adalah membabitkan agensi swasta diikuti kerajaan Persekutuan (198), orang awam (104), kerajaan negeri (95) dan badan berkanun (38) dan GLC serta ahli politik (13),” katanya seperti dilapor.
BACA JUGA Di mana menantu Mahiaddin? Ini penjelasan terkini SPRM