Ini sebabnya Loke saran PRU16 Parlimen, DUN diadakan serentak seluruh Semenanjung
Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) disaran diadakan serentak di semua negeri Semenanjung.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, walaupun pembubaran DUN adalah bawah hak dan kuasa peringkat negeri, cadangan itu wajar dipertimbangkan bagi menjimatkan kos dan menyelaraskan tempoh penggal.
“Biasanya, pilihan raya peringkat Parlimen serta DUN memang diadakan serentak kecuali di Sabah dan Sarawak yang mana keadaannya berlainan.
“Ia (pilihan raya serentak) akan dapat menjimatkan kos, selain penggal dapat diselaraskan.
“Memang ada pertimbangan berlainan kerana DUN di negeri-negeri ada kuasa dan hak untuk menentukan bila boleh dibubarkan tetapi bagi saya, kerajaan negeri bawah Pakatan Harapan (PH) harus dapat berbincang dengan Kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri, supaya PRU16 diadakan serentak,” katanya.
Loke berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Kali Ke-23.
Turut hadir Menteri Besar merangkap Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, semua perkara berkaitan proses pilihan raya. boleh dijalankan serentak sekaligus akan dapat mengurangkan kos logistik.
BACA JUGA Tular jagung ‘scam’ beli dari Cameron Highlands