Pas, dana pilihan raya dan hasrat ‘Payung Besar’: Hipokrasi, kuasa dan muslihat Tun M
Oleh Dr. SHAHNOR BASRI
Dari ‘Tin Milo’ ke ‘Tong Drum’
Pas sering mengulang naratif bahawa mereka adalah parti Islam yang suci, bebas daripada rasuah, dan tidak terikat dengan kepentingan material.
Namun, sejarah membuktikan sebaliknya. Pada era awal, Pas terkenal dengan simbol ‘tin Milo’ untuk mengutip derma daripada rakyat marhaen — seolah-olah menzahirkan kesederhanaan dan ketelusan.
Tetapi kini, dengan kedudukan mereka sebagai parti yang menguasai beberapa negeri, Pas telah beralih daripada ‘tin Milo’ kepada ‘tong drum’ yang memerlukan dana besar bagi menampung kelangsungan politik mereka.
Kajian oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) menegaskan bahawa dana politik di Malaysia seringkali tidak telus, dan parti seperti Pas tidak terkecuali.
Menurut laporan IDEAS (2021), ketiadaan rangka kerja yang jelas tentang pembiayaan politik membuka ruang kepada hipokrasi — parti melaungkan moral, tetapi mengamalkan budaya yang sama seperti pihak yang mereka kutuk.
Pas dan dana: Antara retorik moral dan realiti politik
Brookings Institution dalam analisisnya mengenai politik Islamis menekankan bahawa parti berasaskan agama sering berdepan dilema besar: antara idealisme agama dengan realiti survival politik.
Pas kini jelas mengutamakan survival kuasa. Mereka menuntut dana besar, menguasai sumber negeri, dan dalam masa sama menuduh lawan sebagai korup.
Ironinya, mereka sendiri menolak usaha reformasi politik seperti akta pembiayaan politik yang lebih telus, kerana itu akan mendedahkan sumber sebenar mereka.
Realitinya, Pas kini lebih haloba kuasa berbanding prinsip. Mereka melihat dana bukan sekadar keperluan operasi, tetapi sebagai alat mengukuhkan patronage — memastikan sokongan melalui pemberian, projek, dan janji yang disalurkan secara politik.

Strategi ‘memujuk’ UMNO dan menikam Bersatu
Muktamar Pas baru-baru ini jelas memperlihatkan satu strategi yang halus tetapi berbahaya. Di depan perwakilan, mereka memburukkan Bersatu — menuduhnya lemah dan tidak istiqamah.
Tetapi pada masa sama, Pas memujuk UMNO untuk kembali bersama atas nama “perpaduan Melayu-Islam”.
Retorik ini hanyalah ulangan strategi lama: ketika bersama Pakatan Rakyat dahulu, Pas berwajah manis dengan DAP dan PKR.
Namun, dalam diam mereka berunding dengan UMNO. Akhirnya, Pas menikam belakang sekutu demi kepentingan sendiri.
Bagi Pas, mereka sahaja yang “suci” dan berhak memimpin. Semua parti lain hanyalah alat sementara — dipergunakan sehingga Pas mencapai kedudukan dominan.
UMNO kini berdepan risiko besar: dijadikan “jambatan sementara” oleh PAS, sebelum ditinggalkan dalam keadaan lumpuh.

Mahathir dan projek ‘Payung Besar’
Dalam perkembangan ini, tidak dapat tidak, nama Mahathir kembali muncul. Sejak sekian lama, Mahathir tidak pernah jemu untuk campur tangan dalam politik Melayu.
Retorik beliau mudah: hanya satu “payung besar” yang boleh menyatukan Melayu, dan beliau mahu menjadi arkitek utama. Namun, motifnya bukan sekadar penyatuan, tetapi dominasi.
Mahathir sedar bahawa beliau tidak lagi relevan sebagai Perdana Menteri, tetapi beliau mahu didengari dan mahu agendanya tercapai.
Dengan bekerjasama rapat dengan Pas, beliau melihat peluang untuk menyingkirkan UMNO daripada penguasaan politik Melayu.
Mahathir tahu bahawa Pas lebih mudah dijinakkan kerana kerakusan mereka terhadap kuasa boleh disalurkan untuk mencapai matlamat beliau.
Kajian sarjana politik seperti Amrita Malhi (ISEAS–Yusof Ishak Institute) dan Syaza Shukri (IIUM) menegaskan bahawa Pas dan Mahathir berkongsi satu ciri: kedua-duanya oportunis.
Mereka tidak segan silu menukar kawan menjadi lawan, dan lawan menjadi kawan, selagi strategi itu membawa mereka lebih dekat dengan kuasa.
Dimensi identiti: Mengapa Pas masih daya tarikan?
Menurut Syaza Shukri dalam laporan ISEAS (2024) bertajuk Why Young Malay Voters in Malaysia are “Turning Green”, sokongan besar-besaran terhadap Pas khususnya daripada pengundi muda Melayu bukanlah kerana prestasi ekonomi parti itu, tetapi kerana faktor identiti.
Pengundi muda melihat Pas sebagai pelindung agama dan bangsa, walaupun mereka akui isu ekonomi sebagai keutamaan harian. Fenomena ini menunjukkan bahawa PAS berjaya menunggang politik identiti untuk menutup kelemahan mereka dalam tadbir urus dan ekonomi.
Dalam tulisan lain mengenai The Ulama Leadership Model of Pas (2024), Syaza Shukri menegaskan bahawa kepimpinan PAS berasaskan ulama menekankan dominasi agama dalam politik, dengan meletakkan kuasa ulama sebagai paksi utama.
Model ini menjelaskan bagaimana Pas terus menolak perkongsian kuasa sejati, kerana mereka percaya hanya mereka yang layak memimpin atas nama agama. Inilah wajah sebenar PAS: menjadikan Islam sebagai alat legitimasi untuk menuntut kuasa mutlak.
Hipokrasi Pas dalam konteks demokrasi Malaysia
Pas mendabik dada sebagai parti Islam, namun sikap mereka terhadap demokrasi jelas bercanggah.
Mereka mempergunakan demokrasi untuk masuk ke dalam sistem, tetapi enggan menerima prinsip asasnya: ketelusan, akauntabiliti, dan pluralisme.
Laporan Brookings mengenai politik Islamis menekankan bahawa parti seperti Pas lebih cenderung menggunakan agama sebagai alat mobilisasi berbanding asas moral dalam pemerintahan.
Ini menjelaskan mengapa Pas menolak reformasi seperti pembiayaan politik yang telus, reformasi institusi, atau perkongsian kuasa yang adil. Mereka mahu kuasa mutlak, tetapi dibungkus dengan retorik agama.
Antara retorik dan realpolitik
Pas boleh terus mengaminkan retorik moral mengenai dana — menyeru ketelusan, menuduh pihak lain korup, dan berdiri sebagai “penjaga moral”.
Namun, realitinya lebih berteraskan survival kuasa: dari “tin Milo” ke “tong drum”, Pas telah berubah — dan isu dana kini adalah alat untuk menstruktur semula peluang politik.
Sementara itu, Mahathir tiba-tiba muncul kembali sebagai arkitek yang mahu menyatukan Melayu di bawah satu payung.
Tetapi motifnya bukan semata-mata kesatuan; ia juga soal memastikan suaranya dan agendanya dominan.
Jika rakyat hanya terpukau pada retorik, mereka akan terlepas permainan kuasa sebenar: pembahagian tong drum dana, perjanjian larik kuasa, dan kompromi dasar yang mengorbankan prinsip demi pengaruh.
Dan di sinilah letaknya peringatan keras buat UMNO: jika kali ini UMNO kembali terperangkap dengan pujukan Pas, maka jangka hayat UMNO akan berada pada nafas terakhir.
Lebih malang, apabila Mahathir sendiri turut memainkan peranan dalam strategi “payung besar” ini dan UMNO masuk perangkap ini, maka matlamat Mahathir yang mahu memastikan UMNO terkubur akan berhasil.
Mahathir melihat Pas sebagai kenderaan terbaik untuk melaksanakan strategi itu — memperalatkan retorik agama dan penyatuan Melayu, sementara menyingkirkan UMNO daripada pentas politik arus perdana.
Ringkasnya, Pas mahu kuasa, Mahathir mahu agendanya terhasil, dan UMNO berisiko menjadi korban.
Jika UMNO mengulangi kesilapan silam, ia bukan sekadar menggadai masa depan politiknya, tetapi juga membuka jalan kepada penguasaan penuh oleh mereka yang hanya mementingkan kerakusan kuasa berbanding masa depan negara.
*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.
BACA JUGA Wanita dikecam teruk, guna petrol 600 liter sebulan tetapi mahu minyak subsidi