Lagi pemimpin Pas minta maaf kepada MP DAP kerana memfitnah

Adun Sungai Ramal Shafie Ngah dari Pas membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berhubung hantaran Facebook pada Oktober 2022, mendakwa pemimpin DAP itu menyokong ideologi komunis.

Dalam satu hantaran pagi ini, Yang Dipertua Pas kawasan Bangi itu mengakui kenyataan dikeluarkan beliau ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 15 yang lalu sepenuhnya tidak benar, tidak berasas dan secara keseluruhannya tidak mempunyai sebarang merit.

Kenyataan beliau tiga tahun lalu mendakwa Syahredzan bukan seorang muslim yang jujur dan taat beragama serta menyokong ideologi komunis.

Beliau juga berjanji untuk menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat.

“Saya, Mohd Shafie Ngah, dengan ini tanpa syarat dan secara nyata memohon maaf kepada YB Syahredzan Johan atas kenyataan-kenyataa. yang dibuat oleh saya dan diterbit melalui Facebook Live di platform media sosial saya pada 25 Oktober 2022, iaitu menjelang PRU; dan antara 8 Julai 2023 hingga 12 Julai 2023 menjelang PRN Selangor.

“Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut serta secara penuhnya menyedari kecederaan, distres, dan kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tindakan-tindakan saya kepada Syahredzan

“Sehubungan itu, saya dengan ini menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat, dan memberikan aku janji tanpa bersyarat dan secara nyata, untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan-kenyataan lanjut yang bersifat fitnah atau yang berkemungkinan memfitnah Syahredzan dalam apa jua bentuk atau cara,” katanya.

Shafie pada masa sama berkata beliau akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan-tindakannya dan secara komited untuk memastikan bahawa beliau akan bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat, dan berintegriti pada masa depan.

BACA JUGA SPRM sahkan tiada bukti Anwar miliki 20 akaun bank di luar negara