Hari pertama BUDI95, ini penjelasan MOF

Tiada sebarang aduan teknikal diterima berkaitan pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pelaksanaan BUDI95 peringkat pertama membabitkan anggota tentera dan polis bermula hari ini, berjalan lancar di seluruh negara tanpa sebarang aduan diterima daripada pengguna.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata berdasarkan tinjauan di stesen minyak, didapati sistem penggunaan MyKad bagi menebus subsidi berjalan lancar.

“Setakat ini kami (MOF) juga tidak menerima laporan mengenai gangguan sistem atau masalah pengisian minyak daripada mana-mana stesen minyak seluruh negara,” katanya, dipetik Bernama.

Hui Ying berkata demikian selepas melancarkan Program BUDI95: Pengisian Minyak Bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di Jelutong di Georgetown, hari ini.

Beliau menambah untuk pembelian RON95 bersubsidi, MyKad mesti digunakan sebagai pengesahan warganegara Malaysia.

“Kerajaan turut menyediakan pilihan pembayaran digital melalui e-dompet Touch ‘n Go dan aplikasi rasmi syarikat minyak seperti Setel (Petronas), CaltexGo dan Shell App,” katanya.

MOF juga bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melanjutkan waktu operasi kaunter hujung minggu hingga 26 Oktober depan bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu mereka.

Bermula tengah malam tadi, kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan peringkat pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding pasaran semasa RM2.05 seliter.

BACA JUGA Belum pun 30 September, walaun dah keluar ‘drama di stesen minyak’