Amerika terbukti khadam Israel, dunia semakin sedar

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad menyifatkan kedudukan Amerika Syarikat (AS) di mata dunia semakin tercalar akibat hubungannya yang terlalu rapat dengan Israel.

Menurutnya, dunia kini menyaksikan perubahan apabila beberapa negara menganjurkan himpunan solidariti bersama Palestin sehingga menjadikan Israel sebagai “paria” dunia.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, imej AS teruk terjejas kerana sering bertindak sebagai pelindung utama rejim Zionis.

“Israel menguasai majoriti ahli politik di AS melalui pelobi Yahudi yang menyalurkan dana termasuk dalam kempen pilihan raya.

“Apa sahaja yang dilakukan Israel, AS akan sokong. Ini merosakkan imej AS,” katanya dalam Bicara Haji Khalid Samad, Siri 271 menerusi Jom Channel di YouTube malam tadi.

Khalid menegaskan, semakin ramai rakyat AS kini menyedari perkara tersebut dan berusaha membebaskan diri daripada pengaruh Israel.

Beliau merujuk keterbukaan masyarakat AS yang jelas terbukti dengan pemilihan Zohran Kwame Mamdani, seorang progresif berketurunan imigran, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri New York.

“Betapa hebatnya keterbukaan rakyat AS tetapi bukannya segelintir pemimpin yang dikuasai Israel,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Khalid mendakwa dasar luar AS sejak puluhan tahun lalu banyak dipengaruhi kepentingan Israel, termasuk dalam peperangan yang memusnahkan Iraq, Syria dan Libya.

“Apa yang berlaku di Gaza hari ini adalah hakikat bahawa AS telah menjadi khadam kepada Israel,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Sokongan PMX kepada GSF diputar belit, perangai keji pembangkang dibidas