Jarang ada orang tolak subsidi RON95, peniaga kopi ini cetus perdebatan

Seorang peniaga kopi mengundang perhatian di media sosial apabila berkongsi pengalaman peribadinya apabila mengisi petrol RON95 berharga pasaran tanpa subsidi.

Pengguna Facebook, Mohamad Faidzal Ejohng menceritakan perbualan bersama seorang petugas stesen minyak yang menegur sama ada beliau ingin menggunakan subsidi BUDI95 dengan menunjukkan kad pengenalan di kaunter.

Namun, Faidzal berkata, dia memilih untuk membeli petrol pada harga RM2.60 seliter, sambil menegaskan keputusannya bukanlah kerana faktor politik atau sokongan terhadap mana-mana pihak.

Sebaliknya, kata Faidzal, pilihannya itu atas rasa tanggungjawab kepada negara.

“Saya lahir di sini, membesar dan menua di sini. Saya anak Malaysia,” tulisnya sambil mengingatkan bahawa dia sendiri menikmati kemudahan pendidikan murah suatu ketika dahulu.

Beliau turut menekankan bahawa walaupun kos sara hidup kini meningkat, rakyat masih mempunyai pilihan untuk menentukan cara berbelanja.

“Memang sekarang banyak yang mahal tapi masih ada yang murah. Kita masih ada pilihan.

“Ini kali aku pilih yang mahal… keranamu Malaysia,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menempelak pendirian Faidzal termasuk menganggap lebih baik usahawan berkenaan mengisi petrol RON97 sahaja jika mahu menyumbang untuk negara.

Susulan sindiran netizen itu, Faidzal dalam reaksinya berkata, Proton X70 miliknya menggunakan petrol RON95, manakala kereta Ferrari pula memerlukan RON97.

Tidak ambil subsidi

Dalam masa sama, ada juga berseloroh bertanyakan sama ada cip MyKad beliau sudah rosak, malah kemungkinan tidak memiliki MyKad sekaligus tidak layak menikmati program penyasaran subsidi BUDI MADANI RON95.

Tidak kurang juga menasihati netizen lain bahawa terpulang pada prinsip masing-masing sama ada mahu memanfaatkan atau menolak BUDI95.

Sementara itu, dalam satu hantaran lain, Faidzal rupanya mempersoalkan keperluan menerima subsidi kerajaan seperti program BUDI95.

Menerusi hantarannya di Facebook, dia menegaskan bahawa tidak mengambil subsidi bukanlah satu kesalahan atau tanda kesombongan.

Dia turut menolak andaian bahawa keputusan itu ada kaitan dengan politik tetapi mengakui tidak berapa gembira dengan cara Perdana Menteri mengurus isu sosio ekonomi.

Faidzal bahkan mempersoalkan penggunaan istilah ‘sumbangan’ dalam program BUDI yang menurutnya datang daripada wang rakyat sendiri.

“Memang tu bukan duit dia… duit rakyat. Tapi apasal pulak namanya sumbangan? Kenapa tak panggil dividen?” soalnya lagi.

Tegasnya, dia memilih untuk tidak menggunakan apa-apa subsidi atau bantuan kerana mempunyai pendirian sendiri sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan tanahair.

BACA JUGA AMANAH Johor kecam Israel tahan rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla