KPM sudah minta SKMM sekat semua video aib babit pelajar Tingkatan 3 dirogol

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan dengan menyekat semua penyebaran video berkait pelajar Tingkatan Tiga yang didakwa dirogol di sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, masyarakat perlu faham bahawa mangsa yang juga kanak-kanak bawah umur perlu dilindung dan aib mangsa tidak terus disebarkan.

Katanya juga, KPM memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terbabit.

“Kita sudah meminta kementerian yang berkaitan untuk mengambil tindakan untuk memastikan isu (video) ini tidak disebarkan kerana membabitkan mangsa yang juga pelajar.

“Tetapi kita munta kefahaman masyarakat juga bahawa ini anak bawah umur yang mesti dilindungi dan kes ini juga sudah berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa dan kes ini adalah kes yang sangat serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baharu Sungai Lalang, hari ini.

Fadhlina berkata siasatan dalaman turut dijalankan oleh KPM bagi meneliti secara menyeluruh aspek keselamatan dan tatakelola di sekolah terbabit.

Beliau juga memaklumkan pihaknya akan turun ke sekolah terbabit esok untuk memastikan isu ini dapat ditangani dengan segera.

“Saya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Dr MohdAzam Ahmad sendiri memantau kes ini secara dekat,” katanya.

Sementara itu, empat pelajar Tingkatan 5 telah pun direman enam hari bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata perintah tahanan reman terhadap semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana, bermula hari ini hingga 16 Oktober.

BACA JUGA Apa benda ‘Lemon Law’ yang tiba-tiba disebut dalam Belanjawan 2026 ini?