Azmin, Tun Faisal di sebalik krisis Bersatu, dakwa penyokong

Seorang pemimpin Bersatu Selangor mendakwa konflik dalaman parti itu sebenarnya bukan disebabkan penolakan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, namun penentangan terhadap Setiausaha Agung mereka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan Bersatu, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang meletakkan jawatannya dalam parti baru-baru ini mendakwa, Azmin mempunyai agenda untuk menyingkirkan pihak yang pro kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Katanya, sebagaimana Azmin pernah menggerakkan Langkah Sheraton bagi menjatuhkan presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini beliau dilihat cuba mengulangi sejarah sama, kali ini terhadap kepimpinan dalam partinya sendiri.

“Perkara ini sedang berlaku dalam Bersatu sekarang. Di mana Azmin dan Tun Faisal lah yang mula-mula yang menyerang dan mengugut ketua-ketua bahagian yang pro Hamzah Zainuddin.

Ada yang dipecat dan bakal dipecat. Matlamat mereka jelas untuk menguasai Perikatan Nasional dan mengangkat Azmin dengan menyingkirkan Hamzah,” katanya dalam satu video di media sosial.

Menurut Shafiq, selepas Azmin menang sebagai Timbalan Presiden PKR, beliau bersama kumpulan yang digelar sebagai kartel mula menyusun langkah untuk menyingkirkan Anwar, namun rancangan itu akhirnya gagal.

Kegagalan tersebut, menjadi titik mula kepada perancangan Langkah Sheraton, di mana beberapa rundingan diadakan bagi memastikan Azmin mendapat kedudukan utama dalam kerajaan baharu selepas kejatuhan Pakatan Harapan.

“Oleh itu, mereka melaksanakan Langkah Sheraton dan berunding untuk meletakkan Azmin sebagai timbalan perdana menteri, namun tidak disokong oleh UMNO,” katanya.

Beliau turut mendakwa, corak sama berulang semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila antara syarat sokongan Bersatu kepada kerajaan ketika itu didakwa termasuk cadangan untuk melantik Azmin sebagai timbalan perdana menteri.

“Begitu jugalah semasa zaman Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM. Salah satu syarat sokongan Bersatu yang tidak diketahui rakyat Malaysia adalah untuk melantik Azmin sebagai timbalan perdana menteri,” katanya lagi.

BACA JUGA Kapsyen satu titik Anwar seusai sidang kemuncak ASEAN melabuhkan tirai jadi perhatian