Henti momokkan rakyat, budayakan politik hati nurani

Oleh LIYANA MARZUKI

“Negara terjual, negara tergadai”

Dalam sejarah politik negara, itu naratif yang diulang banyak kali.

Apabila Proton dijual ke Geely, habis dicanang negara dan maruah negara tergadai.

Apabila naik jadi Perdana Menteri, habis dia puji pula. Katanya ia satu sinergi yang baik. Tidak pula dibatalkan.

Apabila banyak deal dibuat dengan China, kuasa besar baru dunia. Mereka pasakkan di kepala kita, ini cara-cara gadai negara.

Namun, apabila mereka naik memerintah, China juga yang dicari. Deal diteruskan lagi. China pun mereka puji. Tingkatkan hubungan diplomatik.

Pelaburan Blackrock dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Katanya jual negara, bagi orang asing memerintah Malaysia.

Walhal, tak cerita, Blackrock itu syarikat dana pelaburan terbesar di dunia. Sudah labur dalam pasaran kita sejak 80-an.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) siap bagi mereka urus dana syariah beratus juta. Itu tidakkah menjual negara?

Bagi pemerhati dan pengundi yang celik politik, kita dah mula jelik dengan taktik sebegitu.

Dipandir-pandirkan rakyat dengan hipokrasi. Dibodohkan rakyat dengan momok yang mereka cipta sendiri.

Begitulah anutan Machiavelli. Dia ajar “Jangan cari cinta rakyat. Kawal ketakutan mereka agar mereka jadikan kita hero mereka”.

Perangkap propaganda

Kalau kita perhati sejarah, ini cara diktator dan autotarian mengawal rakyatnya. Semua yang melawannya itu momok dan jahat sekali. Hanya aku sahaja yang boleh rakyat harapkan. Orang lain tak layak sama sekali.

Bila depan ramai katakan bangsa Israel itu musuh kita. Harus jangan langsung diberi muka.

Belakang-belakang, pasukan kriket boleh masuk Malaysia. Kapal mereka senyap-senyap dibenarkan berlabuh di Malaysia berdekad lama.

Berhati-hati dengan pemimpin politik yang sentiasa mencari ‘demon’ untuk menakut-nakutkan rakyat.

Ya, ada ketika kita harus waspada, anasir-anasir yang tidak baik pada negara.

Namun, kalau ‘demon’ itu berlebihan digunakan, walhal belakang-belakang, mereka buat berlainan, ketahuilah itu bukan waspada, itu perangkap propaganda.

Dulu pemimpin lama selalu guna. Sekarang saya perasan pemimpin muda macam Wan Ahmad Fayhsal sudah ada perangai sama. Yang ni kita kena tegur jua.

Rosak negara kalau pemimpin jenis ini yang kita nak angkat memerintah Malaysia.

Hati nurani

Jangan cari pemimpin yang ada DNA Machiavelli. Carilah set-set pemimpin seperti catatan Al Ghazali dan Al Farabi. Leader-philosopher yang ada hati nurani.

Berpolitik bukan dengan menakut-nakutkan. Dumb down rakyat dengan politik benci dan persepsi tetapi pemimpin yang mengangkat intelek rakyat, tingkatkan nilai dan budi pekerti.

Ikhlas memimpin kerana ibu pertiwi bukan sebab nak kayakan keluarga dan kroni.

Akhirnya, yang menentukan jatuh bangun negara, bukan ‘demon’ yang dicipta sendiri, tetapi nilai dan sahsiah sesuatu bangsa.

Kita ini penentunya. Jadi, pengundi bijak yang setianya bukan kepada parti atau pemimpin tetapi setianya kepada negara.

BACA JUGA Ahmad Awang keluar IJN selepas jalani pembedahan