PM Anwar kembalikan hak Sabah, 9 dari 13 tuntutan MA63 diselesaikan

Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen jelas dalam mengembalikan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 9 daripada 13 perkara utama dalam MA63 telah berjaya diselesaikan setakat ini di bawah kerajaan MADANI.

Ia, jelasnya, menjadikan tempoh pentadbiran sekarang sebagai yang paling progresif dalam menunaikan tuntutan hak Sabah sejak pembentukan Malaysia.

Fahmi Fadzil

“Hanya kerajaan MADANI yang benar-benar memperjuangkan hak dan mengembalikan keadilan kepada Sabah, bukan sekadar slogan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, pemberian khas kepada Sabah pula telah dinaikkan secara signifikan, menunjukkan komitmen kewangan langsung daripada Kerajaan Persekutuan.

“Pemberian khas interim sejak 2023 dinaikkan dari RM126 juta ke RM300 juta, dan 2025 dinaikkan lagi ke RM600 juta,” jelasnya.

Dalam masa sama, kata Fahmi, Sabah mencatatkan hasil negeri sebanyak RM10 bilion, manakala Kerajaan Persekutuan menyalurkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM17 bilion, termasuk pembangunan infrastruktur dan peningkatan perkhidmatan awam.

Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung sikap kerajaan-kerajaan terdahulu.

“Persoalannya, kenapa sejak tahun 1970, tidak ada Perdana Menteri dan Ketua Menteri sebelum ini yang benar-benar mendesak penyelesaian perkara-perkara ini?

“Apa pun, akhirnya PMX yang membantu menyelesaikannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan MADANI akan terus memastikan hak Sabah terjamin, termasuk dalam pengurusan hasil, kuasa pentadbiran dan pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah.

BACA JUGA PRN Sabah: Apa agaknya pilihan 27 peratus pengundi atas pagar?