Dari pagi sampai ke malam, jadual padat menanti PM di Sabah hari ini

Jadual padat di Sabah menanti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, membabitkan empat program utama di sekitar Kota Kinabalu dari pagi hingga malam.

Program Perdana Menteri bermula dengan sesi walkabout dan sarapan bersama komuniti setempat di Pasar Pagi Jalan Gaya, pada jam 9 pagi tadi.

Beliau kemudian menghadiri Program Rancakkan MADANI Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 10 pagi, menurut Bernama.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri dijadual menyampaikan Amanat Presiden kepada kepimpinan parti sempena persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, diikuti Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah dan Pimpinan Angkat di Bilik Mesyuarat 4, SICC pada 4 petang.

Program terakhir beliau ialah Sesi Rapat Umum dan Pengumuman Calon PKR bagi PRN Sabah di SICC yang dijadual berlangsung pada 9 malam. Perdana Menteri dijadual meneruskan lawatan kerja ke Tawau esok.

BACA JUGA Isu hak 40 peratus Sabah: Ewon umum letak jawatan dalam Kabinet