Anwar jawab soalan penduduk isu 40 peratus hak Sabah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab persoalan seorang penduduk mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah ketika meninjau pasar pagi di negeri itu hari ini.
Anwar berkata, beliau memahami keinginan rakyat Sabah terhadap pelaksanaan hak tersebut, namun menegaskan perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh termasuk jumlah hasil cukai yang dikutip dan perbelanjaan sebenar kerajaan Persekutuan di negeri itu.
“Tadi saya di pasar, ada orang tanya, ‘Datuk Seri bila nak bagi 40 peratus, kenapa tak bayar 40 peratus?’ Saya kata okay, 40 peratus apa dia? 40 peratus daripada cukai. Saya kata okay boleh, tapi dengar dulu,” katanya.
Beliau kemudian menjelaskan bahawa hasil cukai daripada Sabah pada tahun 2024 dianggarkan berjumlah RM10 bilion, tetapi perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan dan perkhidmatan di negeri itu mencecah RM17 bilion.
“Keseluruhan (Persekutuan ambil) adalah sebanyak RM10 bilion. Hasil Sabah diambil ke Putrajaya. Baik. Berapa yang Kerajaan Persekutuan belanja untuk Sabah pula?
“Bangunkan sekolah, perubatan, kirim doktor, kawal sempadan, pertahanan, semuanya….Kita ambil hasil RM10 bilion. Kita bagi balik RM17 bilion.
“Sebab apa? Sebab kita pakat antara Persekutuan dan negeri gunakan hasil kita membangunkan semua negeri,” katanya ketika berucap pada program Rancakkan Madani Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Dalam isu ini, Sabah menuntut 40 peratus hasil negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), iaitu bersamaan kira-kira RM4 bilion daripada RM10 bilion hasil keseluruhan.
Namun, berdasarkan penjelasan Perdana Menteri, kerajaan Persekutuan sebenarnya telah menyalurkan RM17 bilion kembali kepada Sabah, yang bermakna ia telah melebihi daripada 40 peratus hasil yang dituntut.
Sementara itu, Anwar membidas pihak tertentu yang mempertikaikan tindakan kerajaan pimpinannya, sedangkan ketika mereka memerintah, isu pelaksanaan tuntutan 40 peratus tidak ditangani secara tuntas.
BACA JUGA Amanah sasar menang 15 kerusi Parlimen PRU 16