‘Orang Sabah makan roti Gardenia je tapi…’
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap orang Sabah lebih cerdik berbanding pemimpin negara dengan mendakwa rakyat di negeri itu makan roti Gardenia sahaja.
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) dalam kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 itu juga mengaitkan isu pembelian pesawat MAS dengan kononnya “negara digadai”.
“Orang Sabah lebih cerdik daripada pemimpin negara.
“Orang Sabah makan roti Gardenia je tapi pemimpin negara jual negara berapa bilion?
“Berhutang dengan kapal terbang Mas. Oh, mahal kapal terbang MAS daripada roti Gardenia.
“Ambil Boeing hutang berapa bilion?” soalnya lagi dengan menempelak pihak yang dianggapnya membesarkan isu roti sehingga lupa negara ini “digadai”.
Petikan kenyataan Hadi berkenaan turut dikongsikannya di TikTok rasmi bekas Duta Khas ke Timur Tengah itu.
Sebelum ini, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Kedah mengundang rasa tidak puas hati rakyat Sabah apabila berkata, “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia saja”.
Susulan kecaman orang ramai, pemimpin Pas berkenaan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang dilihat seolah-olah merendah-rendahkan rakyat Sabah itu.
Dalam PRN Sabah kali ini, Pas menamakan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang juga Naib Pengerusi PN Sabah sebagai calon kerusi DUN Karambunai.
BACA JUGA Pentingnya kerjasama mantap Sabah–Persekutuan, PM janji liputan internet lebih berkualiti