Calon PH Likas perjelas penurunan kadar pengangguran Sabah

Laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan perkembangan signifikan dalam pasaran pekerjaan Sabah.

Untuk suku ketiga 2025, kadar pengangguran negeri itu turun ke 5.7 peratus, lebih rendah berbanding 6.7 peratus pada suku ketiga 2019 dan merupakan angka terendah sejak pandemik.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Likas, Phoong Jin Zhe, melihat pencapaian ini sebagai bukti kemajuan jelas dalam pembangunan industri negeri.

Turut diperhatikan ialah penurunan kadar pengangguran secara konsisten dalam tempoh beberapa suku berturut-turut.

Dari 6.7 peratus pada suku pertama 2025, angka itu menurun kepada 6.2 peratus sebelum mencapai 5.7 peratus pada suku ketiga 2025.

Jumlah penganggur juga berkurangan ketara, daripada 144,500 orang pada suku pertama 2024 kepada 110,000 orang pada suku ketiga 2025.

Dalam tempoh 18 bulan, lebih 30,000 individu berjaya keluar daripada kategori penganggur.

Ini menunjukkan Sabah bukan sahaja pulih ke tahap pra pandemik, tetapi kini berada dalam keadaan lebih baik.

Namun bagi Phoong, walaupun data menunjukkan perkembangan positif, banyak lagi yang perlu dilakukan.

Sabah masih menanggung kesan kadar pengangguran tinggi melebihi sedekad.

Untuk menyamai paras kebangsaan, negeri ini perlu terus agresif menarik pelaburan, memperkukuh syarikat tempatan dan memacu pembangunan industri secara strategik.

Perlu diingat bahawa kadar pengangguran Sabah pernah mencecah 9.1 peratus ketika pandemik dan kekal sekitar 7 peratus sepanjang 2023 hingga 2024.

Kini, buat pertama kali sejak sekian lama, angka itu jatuh di bawah 6 peratus.

Pertumbuhan industri, kemasukan syarikat besar dan peningkatan pelaburan asing dilihat menyumbang kepada penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan terutama buat anak muda.

Dari sudut tenaga kerja pula, Sabah mencatat peningkatan daripada 1.674 juta pekerja pada suku pertama 2024 kepada 1.84 juta pada suku ketiga 2025.

Pertambahan hampir 170,000 pekerjaan ini menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi pertumbuhan pekerjaan di Malaysia selepas Selangor.

Menjengah masa depan, Phoong Jin Zhe optimis bahawa Sabah mampu menurunkan bilangan penganggur ke bawah 100,000 dalam beberapa tahun akan datang.

Beliau turut meletakkan sasaran yang lebih berani iaitu mengurangkan kadar pengangguran kepada empat peratus.

Dengan visi kilang masuk, bakat kembali, Sabah makmur, hala tuju ekonomi negeri ini kelihatan semakin cerah jika momentum pembangunan dapat dikekalkan.

BACA JUGA 300 anggota Warisan hijrah ke GRS