Hasil hutan simpan bukan idea ekonomi ‘The Greater Kedah’
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dilihat mencari jalan mudah untuk menambah pendapatan negeri tatkala Kedah dihambat defisit belanjawan melebihi 14 peratus.
Salah satu jalan mudah tersebut adalah dengan merobek hutan simpan negeri dan ekosistem Kedah atas nama penerokaan unsur nadir bumi.
Malah, penglibatan beberapa syarikat dalam penerokaan ini menimbulkan pelbagai persoalan.
Kepincangan yang berlaku ini mewajarkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan agenda sebenar kerajaan Pas/PN ini.
Tindakan Sanusi yang membuka jalan kepada penerokaan unsur nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik berisiko besar merencatkan usaha negara ke arah kelestarian alam.
Laporan berita mengenai kegiatan melombong nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang secara haram adalah kesan awal “jalan” yang dibuka oleh Sanusi.
Memandangkan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) masih belum dihantar untuk projek penerokaan unsur nadir bumi di Kedah, tindakan Sanusi menandatangani MoU dengan syarikat China dan sebuah lagi syarikat tempatan dilihat sebagai langkah terburu-buru.
Bukan itu sahaja, Sanusi dicabar menjelaskan secara terbuka mengapa Jangka Bakat (Minerals) Sdn Bhd yang baru berusia tujuh bulan dipilih untuk projek ini.
Tambahan pula, syarikat ini akan bekerjasama dengan syarikat China, Xiamen Tungsten Co Ltd.
Persoalan yang timbul, apakah peranan utama yang akan dimainkan syarikat Xiamen Tungsten ini dan mungkinkah ia akan menjadi “abang besar” yang berpotensi mengawal sektor nadir bumi Kedah yang dianggarkan bernilai RM62 bilion?
Bukankah hasil bumi negeri sepatutnya lebih memanfaatkan rakyat Kedah berbanding syarikat asing?
Malah, pemilihan Jangka Bakat (Minerals) Sdn Bhd juga adalah amat meragukan. Ini disebabkan pemilik syarikat ini, Datuk Liana Khalid, turut disenaraikan sebagai pemilik syarikat Jangka Bakat Sdn Bhd yang pernah dinamakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013.
Untuk rekod, Jangka Bakat Sdn Bhd pernah dipilih oleh Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN), sebuah Badan Berkanun Negeri Kelantan, bagi menjalankan perlombongan manganese di Kelantan.
Namun, LKAN 2013 mendedahkan beberapa masalah berkaitan Jangka Bakat Sdn Bhd, termasuk tindakan syarikat itu yang telah menjalankan operasi perlombongan walaupun belum menandatangani perjanjian yang telah disiapkan oleh pihak YAKIN.
Laporan itu juga menyatakan Jangka Bakat Sdn Bhd tidak mematuhi syarat pajakan melombong, dan syarikat itu juga gagal memulakan operasi perlombongan di salah satu lot yang telah diluluskan.
Bukan itu sahaja, Sanusi harus menjelaskan mengapa lesen untuk projek eksplorasi nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang diberikan kepada Prospek Suria Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang 80 peratus dikawal oleh seorang warga asing bernama So Loi Fat.
Kerajaan negeri Kedah pimpinan Sanusi seharusnya menghormati ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-70 pada 18 November 2014 untuk sebaik boleh menghindari aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan.
Penerokaan hasil bumi hutan simpan bukanlah idea bernas memajukan negeri Kedah, apatah lagi mencapai status “the greater Kedah”.
Apa gunanya pembangunan jika manfaatnya kepada orang luar. Adakah tiada anak jati Kedah yang berkelayakan dan berkemampuan?
*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.
BACA JUGA Sanusi patut cari titik persefahaman bukan terus keruhkan keadaan