Sanusi patut cari titik persefahaman bukan terus keruhkan keadaan

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari menegur Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat spekulasi tanpa asas dan bukti yang kukuh.

Ini susulan kenyataan Sanusi bahawa ada usaha terancang menggantikannya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Norizan Khazali untuk mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.

Mohammed Taufiq yang juga satu-satunya Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kedah berkata, kenyataan pemimpin Pas itu hanya menimbulkan syak wasangka antara pemimpin.

Lebih teruk lagi, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah itu, Sanusi seolah-olah tidak mempercayai sebarang keputusan daripada pihak istana.

“Sanusi perlu bersikap seperti seorang Menteri Besar. Beliau sewajarnya tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat spekulasi tanpa asas dan bukti yang kukuh.

“Kenyataan Sanusi seolah-olah tidak mempercayai keputusan dibuat Sultan Kedah. Kebijaksanaan Tuanku Sultan Kedah seharusnya tidak wajar dipertikai,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Sanusi kerap menimbulkan kenyataan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, Taufiq berharap pemimpin terutama yang sudah lama berkecimpung dalam politik dapat mengamalkan politik matang demi manfaat kepada rakyat.

“Saya sebagai pemimpin muda bercita-cita untuk melihat kematangan politik daripada pemimpin yang lebih senior.

“Beliau seharusnya lebih fokus untuk memikirkan tentang kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Terdahulu, Sanusi mendakwa ada usaha menggantikannya dalam Majlis Kewangan Negara tetapi mengakui tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan demikian kerana gerakan berkenaan belum menjadi realiti.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat tersebut turut mendakwa gerakan itu dibuat kerana kelantangannya mengkritik Kerajaan Persekutuan dan wujud usaha melobi Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah bagi tujuan demikian.

Untuk rekod, Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai oleh Perdana Menteri atau mana-mana Menteri yang dilantik.

Setiap negeri pula diwakili individu yang diperkenan oleh Sultan atau Yang Di-pertua Negeri.

Tiada kuasa Perdana Menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang diperkenan oleh Sultan dalam konteks negeri Kedah.

Justeru, Mohammed Taufiq menasihatkan agar Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menjaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Hal ini memandangkan, katanya, Sanusi kini mewakili negeri Kedah bukan hanya mewakili parti politik.

“Meskipun tidak sealiran dalam membawa ideologi politik, namun beliau perlu sedar bahawa fokus gerak kerja kepada rakyat perlu diberi keutamaan dan perlu ada usaha ke arah mencari titik persefahaman, bukan terus mengeruhkan keadaan.

“Kenyataan-kenyataan seperti itu langsung tidak membantu dalam membangun negeri Kedah,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Sanusi dianggap biadab, seolah-olah pertikai kuasa Sultan Kedah