Jangkitan baharu HIV di Malaysia menurun

Jangkitan baharu HIV di negara ini mencatatkan penurunan dalam tempoh 22 tahun dengan pelbagai kemajuan diambil sebagai usaha mengurangkan risiko penularan virus itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari, berkata Malaysia sudah berdepan isu HIV serta AIDS sejak 40 tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu, kita mencatat pelbagai kemajuan membolehkan jangkitan baharu HIV menunjukkan penurunan daripada 6,978 kes dengan kadar notifikasi 28.5 bagi 100,000 penduduk pada 2002 yang tertinggi dilaporkan kepada 3,185 kes dengan kadar notifikasi 9.4 bagi 100,000 penduduk pada 2024.

“Malah, liputan rawatan antiretroviral (ARV) juga terus meningkat sehingga mencapai 94 peratus pada 2024 sekali gus menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan rawatan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan sempena perasmian Majlis Sambutan Hari Aids Sedunia dan Minggu Ujian Antarabangsa di sebuah pusat beli-belah, di ibu negara, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Sektor HIV, STI dan Hepatitis C, Dr Fazidah Yuswan dalam majlis berkenaan.

BACA JUGA PM Anwar pertegas sinergi ulama dan umara diperkukuh