Abah dah jadi Atok di Sabah, letaklah jawatan Mahiaddin

Susulan kekalahan Bersatu di dalam PRN Sabah semalam, seruan agar presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin meletakkan jawatan telah mula bergema.

Seraya dengan itu seorang mantan pemimpin Bersatu menyatakan bahawa timbalan presiden Bersatu boleh mengambil alih kepimpinan Bersatu manakala Pas pula boleh mengepalai Perikatan Nasional (PN).

“Bersatu di bawah pimpinan Mahiaddin pula merudum daripada 11 kerusi pada PRN 2020 kini menjadi kosong terus. Ini bukan lagi mengecewakan, tetapi ia satu kehancuran,” kata pengasas dan mantan ketua badan pimpinan Bersatu Sarawak Johan Mohamad dalam satu kenyataan.

“Jika bermaruah, Mahiaddin mesti terima hakikat bahawa dia bukan sahaja sudah tiada taring tetapi kini sudah tiada gigi dan tak mampu menggigit walaupun sedikit.

“Mahiaddin mesti ambil tanggungjawab dengan cara melepaskan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN. Jika tidak, Bersatu dan PN akan terus merudum.

“PAS boleh ambil alih Pengerusi PN. Manakala Hamzah boleh ambil alih Presiden Bersatu.

Johan menambah bahawa timbalan presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin dibebankan dengan keputusan tersebut kerana beliau pengarah pilihan raya Sabah untuk Bersatu.

“Sebenarnya Hamzah memikul peranan yang hampir mustahil. Dalam keadaan Muhyiddin sudah usang dan tidak menyelerakan, Hamzah dipaksa menjual jenama “Abah” kepada pengundi.

“Jurujual tersohor pun tak akan dapat menjual makanan basi.

“Dalam PRN 2020 dulu memang benar pengundi tertarik dengan imej “Abah”. Tetapi itu dulu. Hari ini “Abah” sudah jadi “Atok” yang membosankan.”

Johan turut menyalahkan Mahiaddin di atas kekalahan di Sabah.

“Isu Mahiaddin sebagai calon Perdana Menteri mengganggu mesej kempen PN. Dalam ceramah, PN cuba meraih undi dengan mengatakan calon-calon mereka adalah muka-muka baru dan anak muda.

“Tetapi pengundi melihat mesej in sebagai songsang kerana “poster boy” PN iaitu Mahiaddin adalah muka tua.”

BACA JUGA: Krisis Bersatu: Bersatu Ampang hilang kepercayaan terhadap Mahiaddin