Malaysia sekelas 11 negara terbaik dunia serius perangi jenayah kewangan

Malaysia mencapai kejayaan luar biasa di peringkat antarabangsa apabila memperoleh status ‘Regular Follow-Up’, iaitu kategori tertinggi dalam penilaian bersama oleh Financial Action Task Force (FATF).

Pengiktirafan diberikan melalui Laporan Penilaian Bersama (MER) oleh FATF dan Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG), sekali gus meletakkan Malaysia dalam kelompok elit negara yang memiliki sistem pencegahan jenayah kewangan antara yang paling mantap di dunia.

FATF merupakan sebuah badan bebas antara kerajaan yang bertanggungjawab menetapkan piawaian global bagi memerangi pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan senjata (ML/TF/PF).

Badan dunia yang dianggotai oleh 40 ahli termasuk 38 bidang kuasa dan dua organisasi serantau ini bertindak sebagai penanda aras utama integriti kewangan antarabangsa.

Pengiktirafan daripada badan berpengaruh berkenaan membuktikan sistem negara kini bertaraf dunia.

Pada 2015, FATF menempatkan Malaysia pada status ‘Enhanced Follow-Up’ iaitu negara yang menunjukkan tahap pematuhan teknikal kukuh serta keberkesanan sistem tinggi dalam membanteras pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Hanya kira-kira 25 peratus ahli FATF berjaya mencapai tahap ‘Regular Follow-Up’ dalam pusingan penilaian terdahulu.

Malaysia kini sebaris dengan 11 negara lain termasuk United Kingdom, Perancis, Itali, Sepanyol, India dan Hong Kong. Kedudukan ini meningkatkan imej negara sebagai bidang kuasa berintegriti tinggi.

Berimpak tinggi

Laporan MER menyorot beberapa faktor utama kejayaan Malaysia, termasuk rangka kerja perundangan dan institusi yang komprehensif.

Antaranya ialah pindaan terkini Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Kanun Keseksaan.

Penyelarasan dalam negeri melalui Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Peringkat Kebangsaan (NCC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) memastikan tindakan penguatkuasaan bersepadu dan berimpak tinggi.

Aspek teknologi juga menjadi tunjang kejayaan, dengan penggunaan penyeliaan berasaskan risiko dan analitik data yang canggih, serta perkongsian maklumat lancar antara agensi.

Salah satu pencapaian paling membanggakan ialah lonjakan 15 kali ganda perolehan semula aset berbanding 2015, mencecah RM37.63 bilion, hasil penegasan dasar dan operasi penguatkuasaan undang-undang.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen seluruh negara dalam memelihara integriti kewangan dan menegaskan pihak berkuasa akan terus memperkukuh kerangka pencegahan bagi menghadapi risiko baharu serta mengekalkan keyakinan global.

Laporan MER turut menekankan beberapa bidang penambahbaikan, termasuk kerjasama antarabangsa, penyeliaan sektor bukan kewangan dan ketelusan pemunyaan benefisial.

NCC akan membangunkan strategi dan pelan tindakan kebangsaan untuk melaksanakan saranan MER dan menangani risiko baharu.

Malaysia kini berada di bawah pemantauan standard, dengan keperluan melaporkan kemajuan kepada FATF pada 2029.

Pengiktirafan ‘Regular Follow-Up’ membuktikan Malaysia serius dalam memerangi jenayah kewangan global, mengesahkan sistem kewangan negara antara yang paling ampuh dan sukar ditembusi.

BACA JUGA KL dijangka terima lebih banyak hujan, ini senarai 15 kawasan berisiko banjir