Pi main tepi pantai, sana banyak pasir, kata Pemuda Pas kepada Ramasamy

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden membidas kenyataan Presiden Urimai, P. Ramasamy yang mengkritik langkah Pas berkaitan hubungan politiknya, khususnya melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

Reaksi itu susulan kenyataan Ramasamy sebelum ini yang menyifatkan tindakan Pas seolah-olah “membina istana pasir”, merujuk kepada keputusan politik parti itu yang didakwa rapuh dan tidak berasas.

Menjawab kritikan tersebut, Afnan secara sinis mempersoalkan logik perumpamaan yang digunakan Ramasamy, sambil menegaskan bahawa pasir merupakan elemen asas dalam pembinaan mana-mana bangunan yang kukuh.

“Nak tanya sikit. Bangunan mana yang dibina tanpa pasir? Semua bangunan yang kukuh mesti dibina dengan pasir, dicampur dengan simen, air dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ramasamy dilapor berkata, tindakan Pas melepaskan Bersatu untuk bersama-sama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) diibaratkan seperti membina istana pasir.

Menurut bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu, jika pemimpin Pas beranggapan UMNO adalah alternatif yang lebih baik daripada Bersatu, maka kejahilan politik sedemikian amat menghairankan.

Padahal, jelasnya, kerjasama Pas dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah meningkatkan sokongan rakyat kepada parti itu dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lalu.

Mengulas lanjut, Afnan berkata, Pas berhak menentukan rakan politiknya sendiri tanpa perlu diganggu atau dipertikaikan oleh pihak luar yang tidak terlibat secara langsung.

“Kami nak duduk sekali sesama kami. Bukannya duk kacau orang lain. Hang nak berkawan, boleh mai. Hang tak mau, sudah. Toksah duk kalut,” katanya lagi.

Dalam nada sindiran, Afnan turut menyarankan Ramasamy supaya tidak terus mencampuri urusan dalaman dan hala tuju politik Pas.

Pi main tepi pantai. Kat sana banyak pasir,” tempelaknya lagi.

BACA JUGA Islam sedang memerintah tapi Presiden Pas sukar untuk akui