Sungai Buloh: Punca pencemaran dikenalpasti, langkah kawalan dipertimbang
Kerajaan negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi-agensi terlibat telah, sedang dan akan melaksanakan beberapa langkah kawalan pencemaran sungai di Sungai Buloh.
Aktiviti perindustrian, komersial, perumahan, penternakan dan akuakultur di kawasan berkenaan dikenalpasti sebagai punca peningkatan sisa buangan cecair yang menyebabkan pencemaran sungai.
Perkara ini dibuat susulan satu rancangan televisyen yang mengetengahkan isu pencemaran sungai di Sungai Buloh yang didakwa boleh mengganggu penumbesaran kerang terencat dan mati
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian telah menyatakan langkah-langkah kawalan pencemaran Sungai Buloh segera dan jangka panjang.
“Antara langkah yang diambil kerajaan negeri adalah dengan menjalankan kajian kebersihan Sungai Buloh secara berkala dan membangunkan Pelan Tindakan Sungai Buloh (PTSB) serta pelaksanaan kawalan bagi lesen kemasukan atau pelepasan bahan pencemar dengan had parameter,” kata Lee dalam satu kenyataan hari ini.
Langkah jangka panjang
“Bagi penyelesaian jangka panjang, salah satu cadangan yang sedang dikaji dan diteliti kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah Polisi Pelepasan Sifar iaitu premis akan mengitar semula pelepasan efluen mereka berbanding melepaskannya kepada alam sekitar dan sumber air.”
Dasar Prinsip Pencemar Membayar (PPP) juga akan diperkenalkan.
Dasar ini membolehkan mana-mana premis dikenakan caj terhadap jumlah beban pencemaran yang dilepaskan ke dalam sungai jika melebihi had piawai ditetapkan.
Menurutnya, kedua-dua dasar ini sedang dikaji akan kebolehlaksanaannya secara menyeluruh daripada segi impak keseimbangan dan kemampanan sumber air serta ekonomi.
Pada masa yang sama, Hee berkata pelaksanaan Jumlah Beban Harian Maksimum (TMDL) turut merupakan langkah yang sedang diambil bagi menilai kemampuan sesuatu sumber air termasuk sungai untuk menerima beban bahan pencemar tanpa menjejaskan kualiti airnya.
“LUAS telah melaksanakan dua kajian TMDL iaitu di lembangan Sungai Langat dan Sungai Sembah dan akan dilaksanakan di lebih banyak sungai-sungai di Selangor termasuk di lembangan Sungai Buloh pada masa depan,” katanya.
Tambahnya, selain itu, pihak LUAS akan terus memperkasakan program kesedaran bersama komuniti di kawasan persekitaran dengan mewujudkan ‘Friends of River’ (FoR) Negeri Selangor di lembangan Sungai Buloh bagi memupuk kesedaran di kalangan penduduk setempat berhubung pentingnya penjagaan kualiti sumber air seperti Sungai Buloh.
BACA JUGA: LUAS tangani pencemaran dalam empat jam
Â