Gencatan senjata? Bersatu minta Pas mohon maaf dahulu dalam isu MB Perlis
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz membalas kenyataan dibuat Setiausaha politik kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman yang menasihatkan Bersatu supaya berhenti menulis hal sulit dalam PN secara terbuka dan bersetuju dengan “gencatan senjata”.
Dalam satu respon balas di Facebook, Tun Faisal berkata, jalan perdamaian boleh dicapai hanya sekiranya Pas bersetuju untuk membuat permohonan maaf kepada Bersatu.
Ia termasuklah menarik balik tuduhan bahawa Bersatu mengkhianati Pas dalam isu Menteri Besar Perlis.
Kata beliau, syarat itu sudah disampaikan kepada seorang pemimpin Pas pada 13 Januari lalu yang sebelum ini telah menghubunginya untuk mencari jalan tengah memulihkan semula keharmonian parti.
“Pada 13 Januari yang lalu, ada seorang pemimpin Pas menghubungi saya untuk mencari jalan bagaimana keharmonian dapat dipulihkan.
“Saya maklumkan dia, sebenarnya mudah sahaja, boleh dimulakan dengan permintaan maaf. Saya cadangkan kepada dia, mungkin boleh ditarik tuduhan Bersatu mengkhianati Pas dalam isu Perlis, dan bagus juga kalau ada permohonan maaf,” katanya.
Syarat kedua, Tuan Faisal berkata, beliau mendapati ada beberapa garisan merah yang sudah dilangkaui oleh rakan sekutunya, termasuk perkara yang menuntut keadilan dan janji yang perlu dikotakan.
Beliau mahukan perkara ini diurus dengan baik, dengan sempadan dan garis merah perlu ditetapkan semula termasuk memperbaharui perjanjian antara dua parti.
“Jika tidak, di masa hadapan, perkara-perkara ini akan berbangkit kembali. Tetapi itu sekadar cadangan saya kepada dia.
“Saya bukan pemimpin besar seperti dia. Tetapi saya yakin jika ia dapat dilaksanakan, insyaAllah gencatan senjata ini akan menjadi perdamaian yang abadi atas ikatan persaudaraan sesama Islam, demi perjuangan Islam dan Ummah, agama bangsa dan ranah air yang kita sama-sama junjung.
“Bukan macam gencatan senjata Israel yang tidak pernah ditunaikan,” tambahnya lagi.
Terdahulu Syahir membuat hantaran kepada Bersatu, berkata “cukup-cukuplah menulis” secara terbuka.
Kata beliau, pihaknya hanya ingin meneruskan perjalanan selepas genap sebulan “pemandu bas” meletakkan jawatan, merujuk kepada peletakan jawatan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Pengerusi PN.
“Mengapa perlu menulis hal ‘sulit’ secara terbuka? Ikutkan hati, mahu sahaja saya membalas, namun saya memilih untuk menahan diri.
“Justeru atas rasa hormat kepada kekanda Datuk Dr Marzuki & Tun Faisal, permintaan saya; cukup-cukuplah menulis. Hari ini 1 Februari. Sudah genap sebulan ‘pemandu bas’ meletak jawatan, 1 Januari.
“Perjalanan tergendala. Penumpang gelisah. Keluarga (rakyat) menunggu. Kami hanya mahu teruskan perjalanan,” kata Syahir.
BACA JUGA Lain macam…jualan di 9 stesen minyak di sempadan Kelantan jatuh mendadak lepas diawasi KPDN