Ini dia perkembangan terbaharu berkaitan GISBH

Sebanyak 12 kertas siasatan melibatkan syarikat utama Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) masih berada di Jabatan Peguam Negara (AGC), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali hari ini.

Armizan berkata, kertas siasatan tersebut dibuka oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 9 Oktober 2024 susulan ketidakpatuhan terhadap Akta Syarikat 2016.

“Kesemua kertas siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada AGC pada 4 Ogos 2025. SSM kini menunggu arahan lanjut daripada AGC.

“Dalam tempoh itu, syarikat-syarikat GISBH masih kekal berdaftar dalam rekod SSM sementara menunggu arahan lanjut dan keputusan rasmi daripada pihak pendakwa,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Menurut Armizan, sebanyak 17 syarikat di bawah GISBH masih berdaftar dengan SSM, melibatkan sektor seperti makanan dan minuman, perundingan, pelancongan, hartanah serta runcit.

Bagaimanapun, syarikat-syarikat tersebut telah atau akan berdepan tindakan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata, setakat 1 Februari, SSM telah mengeluarkan 50 notis kompaun kepada syarikat-syarikat terbabit bagi kesalahan yang boleh dikompaun, dengan 27 daripadanya masih belum dijelaskan.

“Kesalahan tersebut melibatkan kegagalan mengemukakan penyata tahunan, menyediakan penyata kewangan, serta mempamerkan nama syarikat dan nombor pendaftaran di premis perniagaan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai status perniagaan GISBH selepas para pemimpinnya didakwa sebagai ahli pertubuhan menyalahi undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Ali bersama 21 individu lain dikenakan pertuduhan lebih ringan selepas mengemukakan representasi kepada AGC.

Mereka sebelum ini didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada hari yang sama dijatuhi hukuman penjara 15 bulan selepas tempoh hukuman itu ditetapkan berkuat kuasa secara retrospektif dari tarikh tangkapan mereka pada 2024.

BACA JUGA: Kes GISBH: Semua mengaku salah atas tuduhan apa?