Rakyat Iran turun ke jalan raya raikan kemenangan

Ribuan rakyat Iran turun ke jalan raya untuk meraikan kejayaan apa yang disifatkan sebagai “kemenangan bersejarah” dalam perang menentang Amerika Syarikat (AS) – Israel.

Suasana meriah sambutan yang dikongsikan di media sosial itu susulan gencatan senjata yang dimediasi oleh Pakistan selepas 40 hari berbalas serangan.

Difahamkan, mereka yang berarak antara lain bersorak, “Bersama-sama kita berjaya”, “Iran dan Pakistan sahabat selamanya” serta “Kemenangan ke atas Yahudi”.

Terdahulu, Iran telah bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu bersama AS, memetik Al Jazeera.

Majlis Keselamatan Negara Iran dalam kenyataan rasmi memaklumkan pihak lawan mengalami kekalahan besar dan kini ‘tiada pilihan selain tunduk’ kepada kehendak Iran.

Menurut kenyataan itu, AS bersetuju dengan cadangan 10 perkara yang merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan keluar tentera AS dari rantau tersebut serta penghapusan sekatan terhadap Iran.

Republik Islam itu juga menyatakan bahawa rundingan dengan Washington akan bermula di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada hari Jumaat, 10 April ini, berdasarkan cadangan 10 perkara oleh Tehran.

Sebelum itu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau menangguhkan ancaman untuk “menamatkan tamadun Iran” dan akan “menggantung” serangan terhadap negara tersebut selama dua minggu.

Trump berkata, gencatan senjata itu bergantung kepada persetujuan Iran untuk membuka Selat Hormuz secara “sepenuhnya, serta-merta dan selamat”.

Laluan perairan sempit yang menghubungkan Teluk ke Laut Arab itu dilalui oleh kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Namun, sekatan separa Iran ke atas selat itu ekoran serangan AS – Israel pada 28 Februari telah menjejaskan perdagangan global mengakibatkan lonjakan kenaikan harga minyak sertakekurangan bahan api di seluruh dunia.

Serangan balas Iran turut memberi kesan di rantau Teluk dan melibatkan kumpulan Hezbollah di Lubnan serta Houthis di Yaman, yang kedua-duanya telah melancarkan serangan ke atas Israel, sekali gus memperluaskan lagi konflik itu.

BACA JUGA Terjemah pelan 10 perkara kepada perjanjian damai yang menyeluruh – PM Anwar