Dua sumber strategik ini jadi faktor penentu keyakinan pelabur

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jaminan bekalan air dan tenaga stabil merupakan sumber strategik yang menjadi faktor penentu kepada keyakinan pelabur terhadap sesebuah negeri.

Menurutnya, kestabilan bekalan tenaga, khususnya daripada sumber boleh baharu seperti hidroelektrik dan solar, memberi kelebihan kompetitif kepada negara dalam menarik pelaburan berimpak tinggi.

“Jaminan bekalan tenaga yang mencukupi dan stabil mampu menarik lebih ramai pelabur, sekali gus mengembangkan ekonomi serta meningkatkan pendapatan rakyat dan negara,” katanya.

Fadillah berkata demikian dalam ucapannya selepas mengakhiri Program Skuad PETRA Zon Sarawak di Kuching, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menegaskan bahawa air dan tenaga mempunyai hubungan yang saling bergantung.

Hal ini memandangkan proses rawatan air memerlukan tenaga, manakala penjanaan tenaga pula memerlukan sumber air.

Sehubungan itu, Fadillah menyeru masyarakat agar menggunakan air dan tenaga secara berhemah serta menjaga kebersihan sungai bagi memastikan kelestarian sumber berkenaan untuk generasi akan datang.

BACA JUGA Fitnah melampau! Gambar palsu kaitkan dengan ganja, pejabat menteri buat laporan kepada MCMC