Perdana Menteri dipuji pegang janji kemasukan ke matrikulasi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan pujian di atas komitmen beliau dalam memastikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, khususnya 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diberikan peluang melanjutkan pelajaran ke program matrikulasi atau laluan setara.

Adun Batu Uban, A Kumaresan berkata, langkah ini amat dialu-alukan kerana ia membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar bukan Bumiputera dan bukan Islam yang menunjukkan kecemerlangan akademik untuk turut menikmati akses kepada pendidikan tinggi.

“Ini mencerminkan usaha menghargai merit serta memastikan pelajar berpotensi tinggi tidak tercicir daripada sistem Pendidikan,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berpandangan bahawa bantuan serta peluang pendidikan perlu terus disasarkan berdasarkan gabungan merit akademik dan keperluan ekonomi, agar matlamat merapatkan jurang pendidikan dapat dicapai dengan lebih berkesan.

“Saya percaya bahawa pemberian peluang kepada pelajar cemerlang daripada pelbagai latar belakang akan menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, sains dan teknologi.

“Pelaburan dalam pendidikan generasi muda ini adalah kunci kepada daya saing negara dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Adalah penting untuk kita terus menyokong usaha yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat serta memperkukuh masa depan negara,” katanya.

BACA JUGA Tular aksi MB Perlis nyanyi ‘live’ dengan Ibu Hetty