Pengguna FB berdalih lepas fitnah Mat Sabu, dakwa gambar diambil dari internet

Seorang pengguna Facebook yang didakwa memulakan hantaran fitnah terhadap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, cuba berdalih selepas terang-terangan membuat kesilapan.

Individu itu mendakwa gambar yang dikongsikan sebenarnya diambil dari internet.

“Saya pun jumpa dekat internet gambar ni Bang Mat. SKMM nak tangkap juga ke?”.

Hantaran itu dibuat selepas pejabat KPKM hari ini menegaskan, tangkap layar artikel kononnya beliau meminta penjawat awam menanam ganja di rumah adalah palsu dan fitnah.

Jelasnya, kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam kerana menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

KPKM telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.

Sebelum ini, pengguna FB bernama Firdaus Radzi memuat naik tangkap layar artikel palsu, memaparkan Mohamad Sabu sedang memetik pokok ganja, dengan kapsyen pada imej “Mat Sabu cadang penjawat awam mula tanam ganja di rumah susulan konflik di Asia Barat”.

Penyokong kerajaan menggesa supaya menteri tidak berkompromi dengan penyebaran fitnah seperti ini, selain menyeru SKMM mengambil tindakan tegas ke atas individu yang memulakan fitnah tersebut.

BACA JUGA Fitnah melampau! Gambar palsu kaitkan dengan ganja, pejabat menteri buat laporan kepada MCMC