Ini sebabnya PM Anwar tersentuh hati bertemu rakyat yang terkandas di Asia Barat

Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa syukur apabila seorang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara bersama kru kapal selama tujuh bulan akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air.

Anwar berkata, pertemuan dengan Muhammad Kamal Idhamuddin Kamal Arifin, salah seorang kru Kapal Berkat Tuah yang sebelum ini terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), benar-benar menyentuh hati dan nurani beliau.

“Alhamdulillah, dengan ikhtiar berterusan serta kerjasama erat Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di UAE dan agensi berkaitan, beliau bersama rakan-rakan akhirnya dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat,” kata beliau menerusi hantaran di media sosial.

Perdana Menteri bertemu dengan Kamal Idhamuddin, salah seorang rakyat yang pernah terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, UAE bersama rakan-rakan kru Kapal Berkat Tuah sejak tujuh bulan lalu.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan usaha sedang dipergiat bagi memastikan baki anak kapal yang masih terkandas dapat segera dibawa pulang ke tanah air.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia, walau di mana mereka berada, kekal menjadi amanah serta keutamaan Kerajaan MADANI.

“Saya doakan agar saudara Kamal dan semua kru terus diberikan kekuatan dan ketabahan,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Hadi tergamak sebut ‘pemimpin yang bebal atau bangang’ isu urus harta negara