Berita baik! Harga diesel, RON97, RON95 turun mulai esok

Harga baharu diesel di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM5.97 seliter berkuat kuasa mulai esok sehingga 22 April, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Penetapan kadar baharu itu menyaksikan bahan bakar itu mengalami penurunan sebanyak 75 sen, berbanding minggu sebelumnya, RM6.72 seliter.

Dalam kenyataan sama, MoF memaklumkan harga RON97 dan RON95 tanpa subsidi turut diturunkan masing-masing sebanyak 25 sen bagi tempoh sama.

“Harga baharu RON97 tanpa subsidi adalah RM5.10 seliter manakala RON95 pula RM4.02 seliter,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Menurut kementerian itu, penurunan harga dilaksanakan selaras dengan formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) susulan penurunan harga pasaran antarabangsa.

Jelas MoF, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa berikutan konflik di Asia Barat yang berlarutan.

Tambahnya, kerajaan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan.

Dikekalkan

Kenyataan sama turut memaklumkan kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu pada kadar RM1.99 seliter bagi BUDI95 dan RM2.15 seliter bagi diesel di Sabah, Sarawak serta Labuan.

Harga Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) juga dikekalkan pada paras RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

MoF turut memaklumkan kerajaan telah meningkatkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel kepada RM400 sebulan bagi bulan ini untuk 350,000 penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dengan tambahan dana RM35 juta sebulan.

Langkah itu, menurut MoF, bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat serta memastikan kelangsungan pengeluaran makanan dan rantaian bekalan.

“Ini merupakan kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan tekanan pasaran petroleum global, selepas peningkatan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac lalu,” kata kementerian itu.

Dalam masa sama, MoF memberitahu bahawa kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar.

Kenaikan itu, ujarnya, melibatkan dana tambahan sekitar RM40 juta dan memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi bagi membantu sektor agromakanan menghadapi kenaikan kos input.

“Secara keseluruhan, kerajaan dianggarkan akan menanggung sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa.

“Subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada sekitar RM4 bilion sebulan manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan,” menurut MoF lagi.

BACA JUGA Krisis tenaga global: Rakyat perlu nilai ‘formula’ simplistik Pas