Di sebalik hubungan akrab, nak eksport minyak ke Australia, tunggu dulu – PMX

Dalam isyarat jelas keutamaan dasar tenaga negara, Malaysia menegaskan sebarang eksport bahan api ke Australia hanya akan dipertimbangkan selepas keperluan domestik dipenuhi sepenuhnya, di tengah ketidaktentuan rantaian bekalan global.

Perdana Menteri, datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jaminan bekalan oleh Petroliam Nasional Berhad membolehkan negara mengekalkan kestabilan tenaga domestik, dengan lebihan hanya disalurkan kepada rakan strategik terpilih.

“Keutamaan, sudah tentunya ialah memenuhi keperluan domestik serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, di sini hari ini.

Pendekatan tersebut hadir dalam konteks rantaian bekalan tenaga global yang semakin tidak menentu, di mana negara pengeluar dan pengguna saling bergantung dalam memastikan kesinambungan bekalan.

Malaysia, yang turut mengimport gas asli cecair (LNG) dari Australia, dilihat mengamalkan pendekatan timbal balik apabila komited memenuhi keperluan rakan dagang itu selepas keperluan domestik dipenuhi.

“Itulah erti persahabatan,” kata Anwar, sambil menyifatkan hubungan tersebut sebagai perkongsian seimbang berasaskan kepercayaan dan kepentingan bersama.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia akan terus mempelbagaikan hubungan ekonomi global, dengan Amerika Syarikat kekal sebagai rakan dagang dan pelaburan terbesar, di samping mengekalkan hubungan dua hala dengan Rusia.

Dalam persekitaran global yang semakin kompleks, Anwar berkata kerajaan akan terus mengurus hubungan antarabangsa secara berhati-hati bagi memastikan kestabilan ekonomi serta melindungi kepentingan rakyat.

“Keutamaan saya… adalah untuk melindungi kepentingan rakyat di negara ini,” katanya.

BACA JUGA Bila dunia risau krisis tenaga, Malaysia–Australia selaras strategi bersama