Larangan media sosial bawah 16 tahun dijangka Jun atau Julai
Pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial dijangka dikuatkuasakan sama ada Jun atau Julai depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi serta terdedah kepada kandungan tidak wajar dalam talian itu bagaimanapun tertakluk kepada proses penelitian sebelum dibentangkan untuk dimuktamad.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan ‘regulatory sandbox’ dengan platform media sosial.
“Ia bagi mengenal pasti mekanisme yang pada ketika ini dilaksanakan penyedia platform, selain menyeragamkan dengan mekanisme yang mungkin kita harapkan.
“Kita tidak mahu sekadar disebut sebagai jaminan umur tetapi pengesahan kerana Malaysia dalam konteks perundangannya berbeza.
“Kita mempunyai dokumen rasmi kerajaan iaitu MyKad,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, MCMC telah mengadakan perbincangan mengenai pelaksanaan sekatan dengan platform media sosial di Singapura dan kini dalam proses penilaian.
“MCMC akan bawa kepada perhatian saya, mungkin dalam seminggu yang akan datang.
“Kemudian kita akan putuskan, harap akan dapat laksanakan sekatan ini mungkin Jun atau Julai,” kata Fahmi lagi.
Sebelum ini, dilaporkan kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Untuk rekod, Australia menjadi negara pertama memperkenalkan peraturan media sosial untuk bawah 16 tahun secara nasional pada Disember 2025.
BACA JUGA Bila dunia risau krisis tenaga, Malaysia–Australia selaras strategi bersama