DOSM : Ekonomi masih kukuh, Malaysia catat 5.3% suku pertama

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.3 peratus pada suku pertama 2026, sedikit sederhana berbanding 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi itu masih mencerminkan asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Ini meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, khususnya kenaikan harga minyak berikutan ketegangan geopolitik,” katanya dalam kenyataan Anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Awalan, hari ini.

Menurut DOSM, sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila mencatatkan peningkatan 5.4 peratus, didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit.

“Ini mencerminkan perbelanjaan pengguna yang kekal mampan,” menurut kenyataan itu.

Sektor pembuatan pula mengekalkan momentum positif dengan pertumbuhan 5.8 peratus, disokong oleh peningkatan pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal.

Dalam dua bulan pertama tahun ini, pengeluaran sektor tersebut berkembang masing-masing 7.3 peratus dan 4.2 peratus, dipacu industri berorientasikan eksport.

Sementara itu, sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 7.8 peratus, disokong aktiviti pembinaan pertukangan khas serta bangunan bukan kediaman.

Secara keseluruhan, prestasi suku pertama menunjukkan ekonomi Malaysia kekal stabil di tengah-tengah cabaran global, meskipun pertumbuhan sedikit menyederhana berbanding penghujung tahun lalu.

BACA JUGA Projek IPR Intan, gaji RM2,500 dari tanam cili?