‘Dapat subsidi tapi nak protes?’, pemandu teksi tempelak, isu minyak bukan salah kerajaan

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Hussain menempelak pihak yang menyertai protes kenaikan harga bahan api, walaupun masih menerima subsidi daripada kerajaan.

Menurut beliau, kenaikan harga bahan api merupakan isu global dan bukan berpunca daripada kelemahan dasar kerajaan semata-mata.

“Siapa sebenarnya yang terkesan? Kerajaan sudah beri subsidi.

“Yang tidak dapat itu mungkin tidak ikut undang-undang, tiada lesen atau tidak berdaftar.

“Itu bukan salah kerajaan, itu salah sendiri,” katanya dalam satu rakaman video yang tular di media sosial.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa golongan pemandu teksi tidak wajar menyertai protes kerana mereka masih menikmati subsidi bahan api yang disediakan kerajaan.

“Kerajaan telah beri subsidi kepada kami. Kenapa kami nak membodohkan diri untuk menyertai protes kenaikan minyak?” tempelaknya.

Kamarudin turut mempersoalkan keikhlasan pihak yang menyertai protes anjuran pihak penentang kerajaan itu, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar jika mereka masih menerima bantuan subsidi.

“Yang menyertai protes, kamu terkesan ke?

“Kamu dapat subsidi. Sepatutnya, kamu berterima kasih sebab dapat subsidi,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa krisis minyak yang berlaku ketika ini adalah fenomena global yang memberi kesan kepada banyak negara.

Sehubungan itu, kata Kamarudin, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi situasi tersebut.

“Apa tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk bantu negara?” tegas beliau lagi.

BACA JUGA Rezeki besar buat Kelantan, tambahan RM8 bilion bukan sikit-sikit, RM20 juta untuk rakyat miskin