Malaysia dicontohi lebih maju urus data rakyat, agih subsidi bahan api pun mudah
Malaysia jadi negara contoh bagi Indonesia dalam pengurusan data negara apabila MyKad boleh berfungsi sebagai alat pengesahan identiti utama untuk menikmati subsidi bahan api.
Seorang ahli Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, Deddy Sitorus membangkitkan perkara tersebut dalam pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri negara itu pada 20 April lalu.
Beliau mempersoalkan kewajaran untuk rakyat masih perlu membawa pelbagai dokumen lain seperti sijil kelahiran dan dokumen tambahan setiap kali berurusan dengan agensi kerajaan.

Menurutnya, perkara itu tidak patut berlaku memandangkan kad pengenalan rakyat sudah dilengkapi cip dan sudah cukup menjadi rujukan utama.
Beliau menegaskan keadaan tersebut berlaku kerana banyak agensi membangunkan sistem data masing-masing tanpa penyelarasan.
Antara yang disebut termasuk Pertamina bagi urusan subsidi, Komisi Pemilihan Umum untuk data pengundi, serta Badan Pengurusan Jaminan Sosial (BPJS) dan agensi lain.
“Kalau membazirkan wang, kita (Indonesia) nombor satu!
“Kita harus bilang kita lebih bodoh dari orang Malaysia, kerana urusan ini tidak pernah diselesaikan,” tempelak Deddy dalam rakaman yang kemudian tular di media sosial itu.
Akibat gagal menyatukan data dalam satu sistem berpusat di dalam kad pengenalan, Deddy berpendapat wujud pembaziran besar kerana setiap sistem menelan kos tinggi sehingga mencecah trilion rupiah setiap tahun.
BACA JUGA D-Day Trump: Pilih nuklear atau Hormuz, dunia tahan nafas menanti keputusan AS