Tak tunggu lama: Bantuan segera kepada mangsa kebakaran Batu Sapi
Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia Batu Sapi, dengan RM1,500 diberikan kepada setiap keluarga terjejas, melibatkan kira-kira 300 keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan berjumlah keseluruhan RM450,000 itu disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi meringankan beban mangsa.
Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia turut menyalurkan bantuan RM300 kepada 454 pelajar yang terkesan, melibatkan peruntukan RM136,200.
Anwar menegaskan bantuan berkenaan mesti disegerakan tanpa sebarang penangguhan, memandangkan kebajikan mangsa menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.
“Bantuan ini diberikan kepada semua keluarga terlibat. Kita faham ada yang belum mendaftar atas kebimbangan tertentu, namun fokus kita adalah keselamatan dan kebajikan mereka,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, kerajaan akan memastikan semua mangsa menerima bantuan sewajarnya, sambil menasihati mereka supaya mengikuti proses pendaftaran bagi tujuan bantuan jangka panjang.
Beliau turut memberi perhatian khusus terhadap kebajikan pendidikan anak-anak mangsa, selepas dimaklumkan terdapat pelajar yang tidak hadir ke sekolah kerana kehilangan pakaian seragam.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyegerakan bantuan keperluan tersebut, tetapi sementara itu pelajar perlu hadir ke sekolah dan kelonggaran akan diberikan,” katanya.
Terdahulu, Anwar meninjau kawasan kebakaran yang memusnahkan kira-kira empat hektar penempatan melibatkan sekitar 1,000 rumah dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk dalam kejadian Ahad lalu.
Beliau turut melawat mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan PPR Taman Batu Sapi.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
BACA JUGA 200 juta liter diesel ‘Malaysia hantar ke Australia’? Fahmi: Itu bukan minyak kita