Selesai isu Mat Rempit, sebelum Tahun Melawat Malaysia

Isu imej negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi perhatian apabila Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menggesa tindakan segera terhadap aktiviti mat rempit yang didakwa mencemarkan reputasi Kelantan.

Menurutnya, Kelantan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan berasaskan budaya, makanan dan warisan, namun imej negeri boleh terjejas jika isu sosial seperti perlumbaan haram tidak ditangani secara konsisten.

“Kita ada kekuatan dari segi budaya dan warisan, tetapi imej negeri juga perlu dijaga dengan serius,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Negeri Kelantan.

Beliau merujuk kepada aktiviti mat rempit di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang didakwa berlarutan dan boleh memberi persepsi negatif kepada pelancong.

Sehubungan itu, Dr Hafidzah mencadangkan penguatkuasaan lebih konsisten oleh pihak berkuasa selain pelaksanaan program pembangunan belia yang lebih tersusun.

Menurutnya, pendekatan seperti pendidikan dan latihan teknikal (TVET), sukan serta keusahawanan boleh menjadi saluran alternatif bagi anak muda menyalurkan minat dan tenaga secara lebih positif.

“Belia bukan masalah, tetapi aset negeri yang perlu dibimbing dan diberi peluang,” tegasnya.

Beliau menambah, usaha memperkukuh imej negeri perlu berjalan seiring dengan pembangunan pelancongan, khususnya ketika negara bersiap sedia menerima kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

BACA JUGA Selat Melaka milik bersama : Tok Mat tegaskan tiada keputusan unilateral