Padah fitnah pemimpin DAP, MP Pas kekal bayar RM825,000 berkait isu komunis

Pas dan politik fitnah seperti sudah segandingan apabila seorang lagi pemimpin parti itu diperintah mahkamah membayar ganti rugi kepada pemimpin DAP.

Wakil rakyat Pas, Dr. Siti Mastura Muhammad kekal diperintah membayar ganti rugi RM825,000 termasuk kos kepada veteran DAP kerana memfitnah dan mengaitkan mereka dengan komunis.

Veteran dan pemimpin DAP itu ialah Tan Sri Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng serta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid sebulat suara menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Mereka turut mengekalkan jumlah ganti rugi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2024.

Ahmad Kamal yang bersidang bersama-sama Datin Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar turut menolak rayuan balas ketiga-tiganya untuk menaikkan jumlah ganti rugi yang diputuskan hakim berkenaan.

Pada 4 Disember 2024, Hakim Datuk Quay Chew Soon membenarkan saman yang difailkan oleh tiga pemimpin DAP terbabit.

Beliau berpuas hati bahawa kenyataan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) berkenaan yang mengaitkan mereka dengan komunis merupakan fitnah kerana tidak disokong oleh sebarang bukti.

Hakim berkenaan mendapati Siti Mastura bertindak dengan niat jahat manakala pembelaannya berdasarkan komen yang adil dan perlindungan bersyarat, tidak diterima.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan pemimpin Pas berkenaan membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.

Dalam masa sama, mahkamah turut menetapkan bayaran kos sebanyak RM25,000 kepada setiap plaintif.

BACA JUGA Dari kibar bendera putih ke harga lebih stabil, era MADANI jauh lebih baik dari zaman PN