AMANAH lancar gerakan laporan polis, bidas fitnah kaitkan parti dengan siasatan dana zakat

AMANAH akan menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun Facebook yang didakwa menyebarkan fitnah mengaitkan parti itu dengan siasatan dana zakat baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, hantaran di media sosial berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah disifatkan sebagai fitnah dan cubaan menghasut rakyat, khususnya orang Melayu, untuk membenci parti itu.

Tegasnya, siasatan yang sedang dijalankan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

“Tindakan ini diambil kerana hantaran-hantaran tersebut jelas mencemar nama baik AMANAH yang berpegang teguh dengan prinsip integriti.

“Cubaan mengaitkan AMANAH dengan siasatan dana zakat tersebut seolah-olah satu usaha untuk memburukkan nama AMANAH yang tegas memperjuangkan Islam,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, penyokong pembangkang dilihat mengaitkan AMANAH dengan kes penahanan beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, beliau percaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak terlibat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 5 Akta Fitnah 1957, Seksyen 501 Kanun Keseksaan serta Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama, AMANAH, tambahnya, turut mengarahkan pasukan peguam untuk memulakan tindakan sivil terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut.

Jelasnya, laporan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan kandungan berunsur fitnah itu tidak terus tersebar tanpa kawalan.

BACA JUGA Rekod pecah lagi! Kutipan cukai cecah RM203.991 bilion, bukti kerajaan MADANI di landasan tepat