SPRM dapat bos baru, siapa Abdul Halim Aman?

Kerajaan mengumumkan pelantikan baharu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkuat kuasa 13 Mei ini.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempersembahkan cadangan pelantikan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda telah memperkenankan pelantikan Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Pelantikan tersebut dibuat selaras dengan peruntukan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

Kerajaan menyatakan keyakinan bahawa Abdul Halim, yang disifatkan memiliki pengalaman luas serta tahap integriti tinggi, mampu memperkukuh tadbir urus institusi tersebut.

“Beliau akan meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Pelantikan ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha berterusan kerajaan memperkukuh institusi anti-rasuah di tengah tuntutan awam terhadap ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tegas.

BACA JUGA Zakat bukan suka-suka kutip, titah Sultan Selangor