Hina institusi diraja Selangor: MB gesa tindakan tegas

Kerajaan Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan menghina institusi diraja negeri itu, sambil menggesa tindakan tegas dan segera diambil terhadap pihak terlibat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbuatan tersebut merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab yang mencela serta mengaibkan institusi diraja Selangor yang dipayungi Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, institusi raja-raja Melayu bukan sahaja berperanan sebagai Ketua Agama Islam, malah menjadi lambang perpaduan rakyat dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Respon pelbagai pihak termasuk masyarakat awam yang mengutuk perbuatan ini jelas menunjukkan penghargaan tinggi rakyat terhadap institusi diraja Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin turut menegaskan bahawa tindakan menghina institusi diraja adalah tidak boleh diterima sama sekali di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha Politiknya, Saifuddin Shafi Muhammad, bagi menggesa siasatan segera dijalankan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri supaya tindakan tegas diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menurut Amirudin, siasatan awal mendapati pemilik akaun media sosial berkenaan telah memuat naik kandungan tersebut sebelum memadamkan akaun itu di Facebook.

Beliau berkata akan terus berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Komunikasi bagi mengikuti perkembangan siasatan.

Katanya, sebarang perkembangan akan disembah maklum kepada Sultan Selangor.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak melakukan tindakan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat serta institusi diraja, khususnya di negeri berbilang kaum seperti Selangor.

BACA JUGA Polis berjaya kesan pemilik FB muat naik gambar hina Sultan Selangor