AMANAH nafi kaitan kes dana zakat, gesa siasatan telus
Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan tidak terlibat dengan kes siasatan salah guna dana zakat yang kini dalam perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan dikeluarkan malam ini, Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu berkata AMANAH tidak mempunyai sebarang kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan kes berkenaan.
Menurut kenyataan itu, parti berkenaan turut menggesa agar siasatan dijalankan secara bebas dan telus memandangkan dana zakat melibatkan kepentingan golongan asnaf.
“Dana zakat adalah untuk membantu golongan asnaf dan bukan untuk mengumpul kekayaan peribadi,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, mesyuarat berkenaan turut memutuskan bahawa Konvensyen Nasional 2026 AMANAH akan diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada 22 dan 23 Ogos ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil, susulan mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu yang berlangsung malam tadi.
BACA JUGA Tiada pilihan raya, Majlis Presiden PH tentukan hubungan dengan BN