Pemuda Umno pun ‘tolak’ tebuk atap di Negeri Sembilan
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menegaskan pendiriannya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan melalui kaedah “tebuk atap” ketika krisis politik Negeri Sembilan semakin memuncak.
Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata pendirian itu konsisten sejak krisis Langkah Sheraton dan tidak berubah walaupun Umno kini bekerjasama dengan mana-mana gabungan.
“Pendirian saya tetap sama sejak dari Langkah Sheraton sehingga ke hari ini. Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika 14 Adun Umno-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Umno negeri, Jalaluddin Alias, berkata langkah itu dibuat susulan krisis yang didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri.
Perkembangan itu membuka laluan kepada pembentukan kerajaan baharu apabila BN mendakwa mempunyai sokongan majoriti mudah hasil kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Melalui gabungan BN-PN, blok tersebut dijangka memperoleh 19 sokongan Adun, mengatasi 17 kerusi yang dimiliki PH dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, Akmal menegaskan prinsip parti tidak boleh dikompromi walaupun berdepan percaturan politik semasa.
“Dua pilihan yang ada bagi Umno iaitu menjadi pembangkang yang bermaruah ataupun membubarkan DUN untuk kita serahkan kepada rakyat untuk memilih, ‘full stop’,” katanya.
Pada pilihan raya negeri lalu, PH dan BN membentuk kerajaan bersama dengan Aminuddin dilantik sebagai menteri besar.
Krisis politik itu turut dipengaruhi ketegangan melibatkan institusi adat apabila beberapa Undang Luak didakwa mengambil langkah berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus mencetuskan perhatian meluas.
BACA JUGA AMANAH ‘reject’ kerajaan tebuk atap