Boleh suka hati pecat raja? Ini tiga naratif palsu tapi ramai terperdaya
Oleh LIYANA MARZUKI
Saya sebenarnya kalau boleh tidak mahu mengupas krisis istana yang berlaku di Negeri Sembilan.
Pertamanya, ia negeri orang, ada adat dan Perlembagaan Negeri yang perlu dihormati berlainan dengan negeri saya di Perak.
Namun, dari krisis istana yang masih lagi belum selesai sepenuhnya, tiba-tiba sudah jadi krisis politik dan pentadbiran negeri.
Sebab kita menulis politik bina negara, bukan bina parti. Bila kita saksikan pelbagai naratif songsang undang-undang di media sosial, saya terpanggil untuk cuba luruskan agar institusi dalam negara terjaga dan tiada yang cuba melaga-lagakan.
Baik kita mula.
Untuk mula, asas fahaman kita senang sahaja. Kembali kepada roh Rukun Negara.
Prinsip Rukun Negara kedua ialah Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Setia kita kepada Raja bukan kepada orang lain di bawahnya.
Dan Raja ini bukan ceremonial atau boneka. Baginda mempunyai kuasa dan budi bicara, selagi dibolehkan di bawah Perlembagaan.
Bagi konteks Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, kuasa Baginda termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Ini yang kita nak perhalusi hari ini bagi menjawab segala naratif.
Naratif 1: “Negeri Sembilan ada 4 ‘Raja Tambahan’. Undang ini sama taraf dengan YDPB.”
Ini SALAH. Sangat terpesong daripada Undang-Undang Tubuh Negeri.
Perkara 7 jelas menyatakan YDPB ialah Ruler atau Raja dan Baginda mengatasi semua orang lain dalam Negeri. Termasuk Undang itu sendiri.
Jadi, persepsi YDPB sama taraf dengan Undang adalah dangkal. Ia merendahkan martabat institusi Raja itu sendiri.
Naratif 2: “Undang sudah pecat YDPB dan mereka ada hak nak pecat Raja”.
Nak pecat Raja, orang nombor satu dalam Negeri, bukan seperti kita nak buang kerja biasa. Tidak boleh dibuat sesuka hati.
Ada tatacara jelas di bawah Perlembagaan Negeri. Dalam Perkara 10, syaratnya ada tiga:
1) YDPB itu tidak lagi layak menjadi Raja, sama ada kerana gila, buta atau dungu, atau tindakannya memalukan agama dan Institusi Diraja.
2) Walaupun syarat ini dipenuhi, tidak boleh terus dipecat. Ada prosedur:
(i) Mesti ada pendengaran penuh. YDPB diberi hak untuk didengar, untuk membela diri.
(ii) Pemecatan juga memerlukan proklamasi oleh Menteri Besar bersama Undang. Ini mekanisme semak dan imbang.
Banyak syaratnya. Ini bukan proses yang boleh dibuat secara sewenang-wenangnya.
Naratif 3: “Kenapa Menteri Besar masuk campur? Biar istana tentukan sendiri.”
Ini juga tidak tepat.
Proviso Perkara 10 jelas menyatakan peranan Menteri Besar dalam membuat pengisytiharan bersama Undang sekiranya YDPB layak dipecat.
Peranan ini bukan campur tangan politik. Ia sebahagian daripada struktur Perlembagaan itu sendiri. Memang ada peranan untuk Menteri Besar.
Dalam pengajian undang-undang, kita diajar bezakan antara de facto (fakta) dan de jure (undang-undang).
Kedua-duanya mesti berjalan seiring.
Berpaksikan Perlembagaan
Dalam isu pemecatan YDPB, ia tidak boleh bersandar kepada persepsi atau naratif politik semata-mata. Ia mesti berpaksikan Perlembagaan dan prosedur yang jelas.
Setakat maklumat awam yang diketahui, alasan pemecatan tidak diperincikan, dan tiada butiran mengenai sebarang pendengaran rasmi untuk memberi ruang kepada YDPB membela diri.
Sedangkan dalam urusan pekerjaan biasa pun, prosedur perlu dipatuhi.
Inikan pula institusi Raja yang bersemayam di atas takhta. Perlulah kita berpada-pada.
Dalam isu sebesar ini, yang harus kita pertahankan bukan individu, tetapi tertib Perlembagaan.
Institusi tidak runtuh dalam sehari.
Ia runtuh apabila kita mula benarkan undang-undang ditafsir ikut selera politik.
Kerana akhirnya, itulah letaknya kesetiaan kita, yakni kepada Raja dan Negara bukan kepada parti atau pemimpin berhala.
*LIYANA MARZUKI merupakan bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara.
BACA JUGA ‘Kerat’ jangan tak ‘kerat’!, netizen sakan teka ‘signal’ politik PM gunting rambut