Rakyat Terengganu diminta solat hajat untuk Sultan Mizan
Rakyat di seluruh Terengganu diseru mengadakan solat hajat secara serentak di masjid dan surau esok bagi mendoakan kesejahteraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Seruan itu dibuat menerusi satu surat rasmi bertarikh 27 April lalu yang memohon semua masjid dan surau di negeri berkenaan menganjurkan solat hajat bersama ahli kariah mengikut ketetapan tersebut.
Menurut surat kepada semua pengerusi jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri itu, pelaksanaan solat hajat terbabit akan diadakan sejurus selepas solat Jumaat, manakala di surau pula dijadualkan berlangsung selepas solat Isyak pada hari sama.
“Solat hajat tersebut bertujuan untuk memohon ke hadrat Allah SWT agar Baginda Tuanku Al-Sultan dikumiakan kesihatan yang baik, kesejahteraan berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan,” menurut kenyataan dalam surat itu.
Dalam masa sama, pihak yang terlibat turut diminta memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan pelaksanaan ibadah berkenaan, dengan harapan ia dapat menghimpunkan doa seluruh rakyat negeri itu untuk kesejahteraan pemerintah.
BACA JUGA Krisis di Negeri Sembilan: Biro Politik UMNO dan PH harus bertemu segera – Asyraf Wajdi