Selepas melawat Hospital Ampang, Dr Dzulkefly kongsikan empat perkembangan ini

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sedang memantau rapat tindakan pemulihan bagi menangani cabaran digital dan infrastruktur yang berlaku di Hospital Ampang, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, bagi status eHIS, pasukan teknikal dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak prinsipal kini sedang melaksanakan penyelarasan sistem serta pengesahan integriti data.

“Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) telah diaktifkan bagi memastikan rawatan klinikal diteruskan secara manual tanpa gangguan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, malam tadi.

Beliau turut memaklumkan bagi kapasiti diagnostik, projek penggantian mesin CT Scan hampir siap dan unit model pajakan baharu itu dijangka mula beroperasi menjelang 1 Mei.

“Protokol perolehan turut sedang disemak bagi mengelakkan jurang peralihan seperti ini pada masa hadapan,” katanya.

Dari segi integriti infrastruktur pula, Dr Dzulkefly berkata, kebocoran di kompleks bilik pembedahan (OT) melibatkan paip air sejuk dalam sistem pengudaraan.

“Walaupun kerja pembaikan telah disiapkan dengan pantas, proses pensterilan semula wajib, pembersihan menyeluruh serta audit zarah udara sedang dijalankan.

“Tiada kompromi akan dibuat; OT hanya akan beroperasi semula selepas pematuhan kawalan jangkitan disahkan sepenuhnya,” kata beliau lagi.

Dr Dzulkefly menambah sebagai langkah lanjutan mengarahkan audit struktur dan digital yang menyeluruh dijalankan ke atas hospital yang mula dibuka pada 2006 itu.

“Selain pembaikan segera ini, saya telah mengarahkan audit menyeluruh terhadap struktur dan sistem digital hospital bagi menangani isu asas berkaitan infrastruktur yang semakin berusia,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di Hospital Ampang atas dedikasi dan ketabahan mereka walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Kami komited untuk membina sistem kesihatan yang lebih kukuh dan selamat untuk rakyat.

“Saya menghargai segala kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang ramai dan ingin merakamkan terima kasih atas sokongan serta kefahaman berterusan anda semua,” kata Dr Dzulkefly lagi.

BACA JUGA Krisis di Negeri Sembilan: Biro Politik UMNO dan PH harus bertemu segera – Asyraf Wajdi