Siti Kassim pula sekolahkan BN dan PN berebut kuasa di Negeri Sembilan
Peguam dan aktivis sensasi, Siti Kassim menempelak tindakan sekumpulan wakil rakyat BN di Negeri Sembilan yang cuba mengambil kesempatan ke atas isu adat demi kepentingan politik mereka.
Dalam satu ulasan pedasnya di media sosial, Siti Kassim melabel PN dan BN sebagai parti yang “tidak boleh pakai” dan sengaja mahu merosakkan kestabilan kerajaan negeri.
“Isu ini bermula dengan isu adat. Let them settle. Apa pula kena mengena dengan orang-orang politik ini?
“Mereka ini mengambil kesempatan. BN dengan PN ini memang tak boleh pakai. Orang-orang Melayu yang undi mereka ini, saya tak fahamlah.
“Inilah yang mereka akan buat kepada kamu semua. Mereka akan buat kerajaan negeri tidak stabil dan ini akan mendatangkan masalah untuk menjalankan kerajaan negeri,” katanya.
Aktivis lantang itu turut memberi amaran bahawa tindakan tidak bertanggungjawab ahli-ahli politik ini bukan sahaja mengancam kestabilan pentadbiran negeri, malah akan membebankan rakyat dengan kos berjuta-juta ringgit sekiranya pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan semula.
“Berjuta ringgit habis di mana duit itu boleh digunakan untuk orang Negeri Sembilan,” tegasnya, mempersoalkan kewajaran tindakan wakil rakyat BN yang tiba-tiba menarik sokongan dari Menteri Besar Negeri Sembilan.
Siti Kassim berpendapat, isu adat yang dimainkan itu tidak lebih daripada senjata politik yang sengaja digunakan untuk menggugat kerajaan sedia ada.
“Mereka gila kuasa. Itulah sebabnya. Jadi mereka menggunakan isu adat sebagai senjata politik. Janganlah orang Melayu jadi bodoh. Mereka menggunakan isu ini untuk kepentingan mereka sendiri,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Dah tikam belakang baru ajak bincang? Faiz gesa Umno ambil tindakan tegas 14 Adun khianat