Tular tawaran lesen memandu percuma, ini respons JPJ
Tiada pengeluaran lesen memandu percuma seperti dikesan tular di platform media sosial.
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menegaskan bahawa iklan berkenaan adalah tidak sah dan palsu.
Sehubungan itu, JPJ menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan sebarang promosi yang ditawarkan melalui akaun atau platform yang meragukan bagi mengelakkan kekeliruan serta risiko kerugian.
“Orang ramai juga diingatkan tidak keliru dengan inisiatif Program MyLesen B2. Sesi permohonan program itu telah ditutup dan individu yang berjaya terpilih dihubungi untuk mendaftar di institut memandu,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut agensi itu, sebarang pemakluman rasmi berkaitan perkhidmatan JPJ hanya akan disalurkan melalui Facebook rasmi Ibu Pejabat JPJ Ibu Pejabat dan negeri, tanpa membabitkan mana-mana akaun tidak rasmi jabatan.
“Orang ramai digalakkan untuk sentiasa mendapatkan pengesahan daripada saluran rasmi JPJ sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat.
“Sebarang aduan atau maklumat lanjut boleh disalurkan melalui Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan berikut https://jpj.spab.gov.my/
“JPJ komited untuk terus memastikan penyampaian maklumat yang sahih serta melindungi kepentingan pengguna daripada sebarang bentuk penipuan,” menurut jabatan itu lagi.
BACA JUGA Kerajaan umum PACE RM710 juta, bakal manfaatkan belia, pekerja gig dan pemain PMKS